- Iklan -
Berita

AirAsia ancam saman MalaysiaNow, beri 48 jam tarik balik laporan pinjaman setengah billion dari kerajaan

Surat peguam kepada MalaysiaNow mempertahankan pinjaman diperoleh syarikat bermasalah itu daripada kerajaan dan menyifatkannya sebagai 'munasabah' kerana ia menjadi 'pemacu utama' dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bos AirAsia Tony Fernandes bersama bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu penerbangan AirAsia menjelang pilihan raya umum pada 2018 di mana ia menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional. Gambar: Facebook
Bos AirAsia Tony Fernandes bersama bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu penerbangan AirAsia menjelang pilihan raya umum pada 2018 di mana ia menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional. Gambar: Facebook

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mengancam untuk menyaman fitnah MalaysiaNow berhubung laporan mengenai pinjaman daripada kerajaan sebanyak setengah billion ringgit yang diterimanya melalui skim pinjaman kerajaan.

AirAsia Group Berhad yang kini menukar namanya kepada Capital A Berhad mendakwa artikel ” Persoalan timbul berhubung pinjaman setengah billion ringgit AirAsia daripada kerajaan” adalah “tidak benar, menjengkelkan, palsu dan sama sekali tidak wajar”.

Artikel yang diterbitkan pada 24 Januari itu adalah berkisar tentang kelulusan pinjaman sebanyak RM500 juta dari Danajamin Nasional Bhd, sebuah badan penjamin kewangan di bawah Bank Pembangunan Malaysia yang dimiliki kementerian kewangan.

“Klien kami mengambil pendirian bahawa penerbitan yang dimaksudkan itu dibuat dengan niat jahat dan dianggap untuk menyebabkan kerosakan dan/atau menjejaskan reputasi perdagangan dan/atau nama baik klien kami dan seterusnya menyebabkan klien kami menjadi sasaran kemarahan, penghinaan dan skandal awam,” kata firma guaman Steven Thiru & Sudhar yang mewakili syarikat penerbangan tersebut dalam sebuah surat yang dihantar ke pejabat MalaysiaNow di Petaling Jaya.

Surat yang ditujukan kepada pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya dan penulis Azzman Abdul Jamal memberikan tempoh selama 48 jam untuk menyahterbit artikel tersebut, dan mengeluarkan kenyataan “permohonan maaf ” selain menuntut wang pampasan disebabkan “kerugian dan kerosakan ” yang dialami kepada reputasi syarikat penerbangan tersebut.

Laporan yang diterbitkan MalaysiaNow itu membangkitkan kebimbangan berhubung kelulusan pinjaman sebanyak setengah billion ringgit kepada AirAsia ketika syarikat tersebut diklasifikasikan oleh Bursa Malaysia berada dalam status PN17 berkait situasi kewangannya.

Bagaimanapun, AirAsia berkata status PN17 tersebut adalah “tidak berbangkit” dan “tidak relevan” dalam usahanya untuk mendapatkan pinjaman atau bantuan kewangan.


Persoalan timbul berhubung pinjaman setengah billion ringgit AirAsia daripada kerajaan

Lelaki yang teguh berdiri melawan AirAsia

Pelanggan kecewa kejar AirAsia untuk dapatkan bayaran balik

Status PN17 bukan penghalang AirAsia berkembang, kata Tony

Walau hadapi masalah kewangan, AirAsia jamin pelanggan dapat bayaran balik


“Meskipun klien kami berdepan status PN17, namun klien kami masih lagi mampu memenuhi kriteria kelayakan bagi memperoleh pinjaman daripada skim Danajamin dan turut berjaya dalam permohonannya,” kata peguam AirAsia.

Surat tersebut turut berkata AirAsia memiliki “asas yang kuat “, sambil turut menambah “Super App” miliknya diiktiraf oleh Credit Suisse di mana badan itu mengatakan ia adalah “salah satu dari tiga syarikat utama Asean yang berpangkalan di Malaysia”.

Selain itu, ia turut berkata MalaysiaNow gagal untuk melihat AirAsia sebagai sebuah syarikat yang menjadi “pemacu utama dan pencetus perkembangan ekonomi di Malaysia “.

“Oleh itu, adalah satu hal yang munasabah dan wajar bagi kerajaan Malaysia untuk mengambil bahagian, sekiranya ia mahu, untuk membantu klien kami ekoran impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan perniagaan klien kami,” katanya, sambil menambah pinjaman Danajamin diperolehi melalui “merit yang ada padanya semata-mata”.

Bulan lalu, syarikat itu menukar nama kepada Capital A.

Pada sidang media pelancarannya, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes menepis isu berkait status PN17 yang dihadapi syarikat itu dan menyifatkannya hanya satu “isu perakaunan”.

“PN17 disebabkan pajakan yang mana kami tidak pernah bayar, justeru ia tidak sepatutnya direkodkan dalam untung dan rugi.

“Ia berkaitan perakaunan dan penstrukturan, yang menyebut tentang penggabungan defisit berjumlah RM5 bilion,” kata Fernandes.

Pelan-pelan pengembangan syarikat AirAsia muncul ketika syarikat penerbangan itu berdepan kritikan daripada pelanggannya berikutan keputusan untuk tidak membayar semula tiket-tiket penerbangan yang dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Sebaliknya, syarikat itu memilih untuk memberikan kredit kepada ribuan pelanggannya yang terjejas.

Tahun lalu, Fernandes memberikan jaminan kepada pelanggan AirAsia mereka akan dibayar semula walaupun syarikat itu berdepan masalah aliran tunai.

“Anda akan dapat wang anda semula, kami harap anda dapat bersabar,” kata Fernandes dalam sebuah rakaman video pada April tahun lalu.

“AirAsia X berada dalam masalah kewangan yang sangat teruk kerana tidak dapat melakukan penerbangan ke mana-mana pun. Tambahan pula ia terpaksa berdepan persaingan tidak sihat selama bertahun-tahun,” tambahnya.