- Iklan -
Berita

Persoalan timbul berhubung pinjaman setengah billion ringgit AirAsia daripada kerajaan

Kelulusan pinjaman Danajamin diberikan kepada AirAsia selepas syarikat penerbangan itu diklasifikasi sebagai PN17.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Eksekutif AirAsia Tony Fernandes. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Eksekutif AirAsia Tony Fernandes. Gambar: Bernama

Pinjaman berjumlah setengah billion kepada syarikat penerbangan bermasalah AirAsia menggunakan kemudahan kredit kerajaan menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati industri penerbangan.

Pada Oktober tahun lalu, AirAsia mengumumkan ia menerima kelulusan 80% jaminan pinjaman sebanyak RM500 juta dari Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), sebuah badan penjamin kewangan di bawah Bank Pembangunan Malaysia yang dimiliki kementerian kewangan.

Kelulusan pinjaman kepada AirAsia, sebuah syarikat penerbangan tambang murah diketuai Tony Fernandes diumumkan kurang dari enam bulan selepas bank tersebut menamakan Nazir Razak yang merupakan bekas pengerusi CIMB Group dan adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak sebagai pengerusi barunya.

Skim pinjaman tersebut diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, susulan Covid-19, ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk menyediakan bantuan modal bagi membantu syarikat yang teruk terjejas akibat pandemik.

Nazir Razak adalah pengerusi Bank Pembangunan Malaysia yang memiliki anak syarikat Danajamin Nasional Bhd. Gambar: Bernama

Namun, apa yang menimbulkan persoalannya adalah bagaimana pinjaman besar itu diluluskan walaupun AirAsia diklasifikasi sebagai PN17, yang merujuk “Practice Note 17/2005”, sebuah dokumen yang dikeluarkan Bursa Malaysia bagi melabel syarikat tertentu yang menghadapi masalah kewangan.

Sebuah syarikat yang diklasifikasi sebagai PN17 juga turut disyaratkan untuk menyerahkan pelan penstrukturan semula kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Pada 13 Januari, AirAsia diklasifikasikan sebagai PN17 apabila Bursa Malaysia menolak rayuannya untuk melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan yang berakhir pada 7 Januari 2022.

Seorang penganalisis penerbangan berkata setakat ini tiada tanda syarikat penerbangan itu akan kembali pulih daripada impak pandemik.

Menurut Shukor Yusof, keadaan ini berlaku ekoran susulan kemunculan varian Omicron yang walaupun tidak seteruk Delta, tetap memberikan impak kepada perniagaan.

“Sepatutnya kerajaan meletakkan syarat ketika meluluskan sumbangan Danajamin dan menerima ‘manfaat’ dari AirAsia sebab duit itu juga merupakan duit rakyat,” kata Shukor yang merupakan bekas penganalisis Standard & Poor yang mempunyai pengalaman luas selama dua dekat dalam sektor penerbagangan kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata kerajaan boleh meletakkan tempoh enam bulan untuk AirAsia buktikan mereka mampu keluar dari status PN17 dan pastikan operasi semakin pulih.

Shukor berkata, walaupun tiada masalah untuk kerajaan meluluskan dana tersebut, perkara yang paling membimbangkan pada masa ini adalah berkaitan hala tuju AirAsia yang kini dilihat semakin hilang arah.

Menurutnya, walaupun AirAsia melaksanakan pelbagai inisiatif seperti menceburi bidang perniagaan lain, ia dikhuatiri hanya akan menambah kepada tekanan kewangan yang kini dilihat semakin kritikal.

AirAsia sebelum mencatatkan kerugian bagi dua tahun kewangan (FY) terakhir apabila merekodkan kerugian bersih RM283 juta pada FY 2019 dan RM5.89 bilion pada FY 2020.

“Dalam keadaan mencabar ini, mereka melibatkan diri dalam urusan perniagaan yang tiada kaitan dengan penerbangan seperti e-hailing, dron, penghantaran makanan dan sebagainya.”

Shukor turut merujuk kenyataan Tony Fernandes sebelum ini yang menyatakan AirAsia akan menjadi syarikat pelaburan.

“Jika ini sememangnya benar, maka kerajaan tidak patut bantu,” katanya dan menambah “niat” Danajamin adalah untuk perkukuhkan kewangan syarikat bagi operasi penerbangan.

AirAsia turut menerima kecaman melibatkan isu bayaran balik kepada pelanggan susulan pembatalan penerbangan akibat penutupan sempadan di peringkat global disebabkan pandemik.

Sebaliknya, syarikat itu berkata ia akan mengeluarkan kredit kepada penumpang-penumpang penerbangannya yang terjejas.

Walaupun menerima rungutan daripada pelanggan, Fernandes mengumumkan rancangan untuk memperluas cakupan perniagaan AirASia termasuk pelancaran aplikasi “super app”.

Namun Shukor tidak yakin dengan perancangan AirAsia tersebut.

“Walaupun perniagaan baru menerusi pelancaran Super App AirAsia dijangka mampu meraih pendapatan kepada kumpulan, ia tidak sama seperti hasil yang diraih menerusi perniagaan penerbangan,” katanya.

Namun begitu, Shukor turut bersetuju dengan tindakan kerajaan membantu AirAsia menerusi Danajamin memandangkan syarikat penerbangan itu memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara sebelum penularan Covid-19.

“AirAsia menyumbang kepada ekosistem penerbangan di Malaysia dan mereka memainkan peranan penting membawa masuk sejumlah besar pelancong ke negara sebelum Covid-19.

“Jika kerajaan tak bantu, ada kemungkinan syarikat ini akan berdepan masalah yang lebih besar seperti digantung atau muflis dan ini akan merumitkan lagi keadaan kerana AirAsia bersangkut paut dengan rangkaian bekalan seperti industri pelancongan dan industri perhotelan.”

Namun begitu, Shukor berpendapat AirAsia, seperti syarikat penerbangan lain, akan berdepan kesukaran untuk menggembalikan operasi penerbangannya memandangkan penularan Covid-19 masih merupakan ancaman utama di peringkat global.

“Walaupun diklasifikasikan sebagai PN17, AirAsia tetap mempunyai ruang untuk mengatasinya jika mereka dapat buktikan kepada Bursa Malaysia dan pelabur bahawa syarikat itu mampu membiayai operasi sekiranya berjaya meraih sokongan kewangan dari mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini, Fernandes berkata beliau tetap optimis dan yakin syarikat penerbangan itu mampu mencatatkan keuntungan semula selepas melalui 16 bulan tanpa sebarang penerbangan.

Fernandes turut menyatakan AirAsia kini sedang merangka pelan untuk menyelaraskan situasi kewangan bagi menangani status PN17.

Malah, AirAsia juga meraih lebih RM2.5 bilion setakat ini menerusi aktiviti pengumpulan dana termasuk penempatan persendirian sebanyak RM336.48 juta pada suku pertama 2021.

Selain itu, AirAsia turut meraih RM974.51 juta lagi melalui terbitan hak boleh ditolak daripada sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) untuk tempoh 7 tahun dan merancang untuk meraih modal tambahan sehingga RM400 juta pada tahun ini.