- Iklan -
Berita

Selepas 3 tahun, pemuda kecewa gagal dapat pampasan tunai daripada AirAsia

Aiman Md Uslim berputus asa dan nekad untuk tidak lagi menggunakan perkhidmatan AirAsia X pada masa hadapan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Aiman Md Uslim menunjukkan resit tempahan tiket penerbangan AirAsia X yang dibeli pada 3 November 2019 berjumlah RM4,149 ketika ditemui MalaysiaNow di perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang.
Aiman Md Uslim menunjukkan resit tempahan tiket penerbangan AirAsia X yang dibeli pada 3 November 2019 berjumlah RM4,149 ketika ditemui MalaysiaNow di perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang.

Usaha seorang pemuda memperjuangkan haknya lebih tiga tahun untuk mendapatkan kembali duit pembelian enam tiket penerbangan AirAsia X sia-sia selepas gagal mendapatkan bayaran balik dalam bentuk tunai daripada syarikat tambang murah itu.

Aiman Md Uslim dari Shah Alam, Selangor berkata semua tiket penerbangan berjumlah RM4,149 itu ditempah pada 3 November 2019 yang mana ia dijadual berlepas ke Korea Selatan pada 17 Oktober 2020.

Bagaimanapun, disebabkan penularan Covid-19, Aiman membuat keputusan untuk membatalkan penerbangan itu pada 12 Mac 2020 sebelum dia ditawarkan bayaran balik dalam bentuk kredit menerusi satu emel yang dihantar AirAsia X pada 8 April.

"Saya tidak bersetuju dengan untuk menerima kredit dan tegaskan bahawa saya mahu bayaran balik dalam bentuk pembayaran asal," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kemudian pada 19 Mei AirAsia X memaklumkan bayaran balik masih dalam proses kerana terlalu banyak permohonan sama daripada penumpang lain.”

Putrajaya pada 18 Mac 2020 melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 yang mengganas di peringkat global dan dalam negara pada ketika itu.

Sekatan pergerakan ini menyebabkan semua operasi syarikat penerbangan terpaksa dihentikan apabila kebanyakan negara termasuk Malaysia menutup sempadan antarabangsa.

Selepas menunggu lebih dua tahun, Aiman kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan (Mavcom) pada 6 Jun 2022 sebelum dia dikreditkan bayaran balik dalam bentuk baucer perjalanan 10 hari kemudian oleh AirAsia X.

Berang dengan perkembangan itu, Aiman seterusnya memfailkan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil pada 17 Mac 2023 sebelum pendengaran dibuat di Mahkamah Majistret Sepang pada 17 April.

"Apabila AirAsia X tiada wakil, maka saya kemukakan segala butiran sebelum membuat keputusan serta-merta yang memihak kepada saya," katanya.

Berita gembira itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila AirAsia X kemudian memfailkan permohonan untuk mengenepikan keputusan tersebut dengan menggunakan sekatan penstrukturan semula syarikat itu.

AirAsia X sebelum melalui proses penstrukturan semula hutang syarikat yang mana syarikat penerbangan mendakwa menerima persetujuan 99% daripada pemiutang pada 12 November 2021 sebelum cadangan itu diluluskan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Disember 2021.

Malangnya bagi Aiman, pendengaran di Mahkamah Majistret Sepang yang berlangsung pada 8 Jun lalu bagaimanapun menerima permohonan AirAsia X untuk mengenepikan keputusan sebelum ini, menyebabkannya terpaksa menerima bayaran balik dalam bentuk baucer.

Kecewa dengan keputusan itu, Aiman sudah berputus asa dan nekad untuk tidak lagi menggunakan perkhidmatan AirAsia X pada masa hadapan.

Menurut Aiman, dia sebelum ini meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan balik duitnya apabila membaca kisah Nagendran, laporan MalaysiaNow mengenai seorang penumpang AirAsia yang berjaya mendapatkan kembali bayaran balik dalam bentuk tunai menggunakan prosedur sama pada 2021.

"Paling saya marah apabila AirAsia X tidak berbincang dengan penumpang sebelum mereka melaksanakan penstrukturan semula yang mana proses itu membolehkan syarikat tidak memulangkan duit kami.

"Itu memang tidak adil. Senang-senang mereka ambil duit saya. Pemberian baucar perjalanan ini hanya boleh digunakan untuk penerbangan bersama AirAsia X.

"Bagaimana jika saya ingin menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan lain? Sudah tentu tidak boleh," luahnya kecewa ketika berjalan keluar daripada perkarangan mahkamah.