- Iklan -
Berita

Bursa Malaysia beri AirAsia X lanjutan 3 bulan hantar pelan penyusunan semula

Ini merupakan kali kedua syarikat itu diberikan tempoh lanjutan selepas diberikan masa sehingga 28 April lalu.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motosikal melepasi papan iklan Air Asia di Sepang, 10 Februari 2022.
Penunggang motosikal melepasi papan iklan Air Asia di Sepang, 10 Februari 2022.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia X Berhad (AAX), diberikan lanjutan tempoh masa selama tiga bulan sehingga 28 Julai depan untuk menghantar pelan penyusunan semula kepada Bursa Securities.

Ini merupakan kali kedua syarikat itu diberikan tempoh lanjutan selepas diberikan masa sehingga 28 April lalu untuk menyerahkan pelan penyusunan semula.

Perkara ini dimaklumkan AmInvestment Bank Berhad yang mewakili pihak AAX menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah AAX, AmInvestment Bank Berhad mengumumkan bahawa Bursa Securities menerusi surat bertarikh 9 Mei 2023 membenarkan lanjutan masa selama tiga bulan sehingga 28 Julai untuk syarikat menghantar pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa kawal selia," katanya.

AAX sebelum ini dimasukkan dalam senarai Nota Amalan 17 (PN17) pada 27 Oktober, 2021 manakala Capital A Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Berhad menyertai senarai itu pada 14 Januari 2022.

AAX pada 21 Februari lalu memaklumkan syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM153.48 juta bagi suku keenam tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2022, meningkat berbanding RM25.9 juta bagi suku sebelumnya. 

Hasil bagi suku dikaji turut meningkat kepada RM339.3 juta berbanding RM100.1 juta yang direkodkan suku sebelum itu.