- Iklan -
Berita

Mahkamah beri masa kepada kerajaan, NFC selesai kes saman RM253.6 juta

Perbicaraan hari ini ditangguhkan berikutan NFC memohon penangguhan perbicaraan bagi penyelesaian kes saman itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi memberi masa kepada kerajaan Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC), sama ada untuk menyelesaikan kes saman membabitkan kedua-dua pihak atau perbicaraan diteruskan pada 17 Mei ini.

Dalam saman itu, kerajaan Malaysia menuntut NFC membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan. Syarikat NFC diuruskan oleh suami serta tiga anak bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil.

Peguam kanan persekutuan Nurhafizza Azizan, yang mewakili kerajaan ketika ditemui pemberita berkata hari ini sepatutnya ditetapkan untuk menyambung perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai, dengan suami Shahrizat, Mohamad Salleh Ismail selaku defendan kedua akan memberi keterangan.

“Bagaimanapun, perbicaraan hari ini ditangguhkan berikutan NFC memohon penangguhan perbicaraan bagi penyelesaian kes saman itu.

“Pihak-pihak akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai status penyelesaian kes pada 17 Mei. Sekiranya, tiada penyelesaian dicapai, kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada hari berkenaan,” katanya dan memaklumkan pihak defendan mengemukakan lima saksi dalam kes saman itu.

Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Januari 2020 dan seramai tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan, telah selesai memberi keterangan.

Kerajaan selaku plaintif tunggal menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Kerajaan mendakwa daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Dakwa plaintif, dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, sebanyak RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan, manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Kerajaan mendakwa keluarga Salleh telah menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman, serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.