- Iklan -
Berita

Umno bakal tanding 42 kerusi pada PRN Johor

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu akan menumpukan pengundi muda bagi PRN kali ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan melambai tangan kepada media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan kes presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan melambai tangan kepada media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan kes presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Umno mengumumkan akan bertanding sekurang-kurangnya 42 dari 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menurut laporan AstroAwani, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi parti tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti setakat itu.

“Kita lihat minimum 42 kerusi, untuk Umno sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi selepas menghadiri perbicaraan kes rasuah melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad turut berkata Umno akan memberikan tumpuan kepada pengundi muda.

“Johor memiliki lebih 700,000 pengundi baru. Semua orang perlu bekerja keras termasuk Umno.

“Ini bukan kerja mudah untuk Umno. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

PRN Johor yang akan diadakan merupakan PRN keempat dilaksanakan dalam negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ketika ini, secara keseluruhannya, BN memegang 28 kerusi yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara Pakatan Harapan (PH) memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

PRN yang bakal diadakan di Johor kali ini menyusuli PRN Sarawak pada Disember tahun lalu di mana ia dimenangi Gabungan Parti Sarawak dengan meraih 76 dari 82 kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan.
Sebelumnya, PRN Melaka turut diadakan di mana ia menjadi PRN pertama dilaksanakan selepas perintah darurat ditarik semula.

Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi DUN.

Sementara PH hanya memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi dua kerusi.