Wednesday, May 18, 2022

Israel siasat dakwaan polis guna perisian intip penduduk

Intipan polis melalui perisian telefon pintar itu didakwa dilakukan bagi untuk mengumpul bukti yang boleh digunakan bagi siasatan pada masa akan datang.

Other News

Israel melancarkan siasatan berhubung dakwaan polis menggunakan perisian pengintip kontroversi, Pegasus, bagi mengintip penduduk negara itu.

Dalam surat yang dihantar kepada Komander Polis, Koby Shabtai, Peguam Negara, Avichai Mandelblit telah meminta semua pengintipan dari 2020 dan 2021 diserahkan kepada pihaknya bagi “mengesahkan dakwaan yang dibuat menerusi media” tersebut.

Terdahulu, akhbar harian perniagaan Israel, Calcalist melaporkan bahawa polis Israel menggunakan perisian Pegasus bagi mengintip warga Israel yang dianggap berpotensi memberikan ancaman.

Ia dipercayai digunakan untuk mengumpul bukti yang boleh digunakan bagi siasatan pada masa akan datang.

Bagaimanapun laporan akhbar tersebut tidak memetik mana-mana sumber.
Laporan itu juga turut menyifatkan tindakan polis itu sebagai “membahayakan demokrasi Israel”.

Pesuruhjaya Polis, Yaakov Shabtai, bertindak balas terhadap dakwaan itu dan menegaskan bahawa “polis tidak menemui sebarang bukti untuk menyokong maklumat terbabit.”
“Polis Israel sedang memerangi jenayah dengan cara yang selari dengan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan Israel diberi kelonggaran yang luas untuk menjalankan pengawasan di negara itu dengan kelulusan kehakiman.

Kelmarin, kementerian kehakiman Israel berjanji akan menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan perisian pengintip Pegasus digunakan ke atas warga Israel, termasuk aktivis yang mengetuai bantahan terhadap bekas perdana menteri, Benjamin Netanyahu.

Pegasus, produk pengawasan yang dibina oleh firma Israel, NSO, mampu menjadikan telefon mudah alih sebagai peranti pengintipan poket.

Kaedah itu mencetuskan kontroversi global berikutan pendedahan yang dibongkar pada tahun lalu, di mana Pegasus didakwa telah digunakan untuk mengintip wartawan serta pembangkang di seluruh dunia.

Selepas dipasang dalam telefon mudah alih, Pegasus membenarkan akses kepada mesej dan data pengguna serta pengaktifan jauh peranti untuk menangkap bunyi serta imej.

NSO bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan mereka menjual teknologi itu kepada polis Israel, malah menjelaskan mereka “tidak mengendalikan sistem sebaik saja ia dijual kepada pelanggan, malah tidak terbabit dalam apa-apa operasi sistem”.

“NSO menjual produknya di bawah lesen dan peraturan kepada agensi perisikan serta penguatkuasa undang-undang untuk mencegah keganasan atau jenayah di bawah perintah mahkamah dan undang-undang tempatan,” katanya.

Kementerian pertahanan Israel, yang meluluskan semua eksport produk industri pertahanan buatan Israel, turut membuka siasatan terhadap jualan Pegasus di luar negara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles