- Iklan -
Berita

Najib petik berita palsu berhubung kampus MIT Indonesia ketika senaraikan ‘pencapaian’ jadikan Malaysia hab pendidikan

Najib berkata rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan terhenti selepas beliau tumbang pada 2018.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar hantaran Facebook bekas perdana menteri Najib Razak di mana beliau berkongsi sebuah berita palsu mengenai kerjasama antara Massachusetts Institute of Technology dan Tsinghua University.
Tangkap layar hantaran Facebook bekas perdana menteri Najib Razak di mana beliau berkongsi sebuah berita palsu mengenai kerjasama antara Massachusetts Institute of Technology dan Tsinghua University.

Laporan berita dikongsi Najib Razak yang mengatakan Massachusetts Institute of Technology (MIT) akan membuka kampusnya bersama sebuah universiti terkemuka China di Indonesia adalah palsu, susulan kenyataan yang dikeluarkan universiti berprestij Amerika Syarikat (AS) itu menafikan dakwaan yang diterbitkan media Indonesia.

Ketika memetik laporan itu, bekas perdana menteri itu berkata keputusan MIT dan Tsinghua University untuk membina kampusnya di Bali menunjukkan dua universiti terkemuka dunia itu lebih memilih Indonesia berbanding Malaysia sambil menambah ia adalah satu perkara yang mengecewakan ketika negara dalam usaha menjadi sebuah hab pendidikan antarabangsa.

Beliau turut berkata sepanjang beliau memegang jawatan menteri pendidikan dan perdana menteri, sejumlah 11 universiti luar membina kampusnya di Malaysia.

“Ratusan ribu anak Malaysia mendapat manfaat disamping menjimat kos pendidikan mereka.

“Tapi rancangan ini seperti terhenti selepas PRU14,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook semalam dan menambah rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan terhenti selepas tumbang pada 2018.

Najib berkata idea bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membawa universiti Jepun ke Malaysia juga tidak menerima tindakan susulan.

“Jadi, saya harap menteri pendidikan hari ini akan berusaha untuk menarik Universiti Tsukuba dan lain-lain universiti terkenal dunia untuk mendirikan kampus di Malaysia agar negara teruskan hasrat bagi menjadi hab pendidikan antarabangsa serta menaikkan modal insan negara.”

Bagaimanapun, MIT menafikan laporan tersebut.

Dalam sebuah respons terhadap dakwaan yang dibuat media Indonesia, MIT berkata ia tidak pernah menandatangani sebarang kerjasama dengan Tsinghua University untuk membina kampus di Bali, sambil menambah pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan kompleks univerisiti yang sedang dibina di pulau peranginan itu.

Disember lalu, bekas gabenor Bali Made Mangku Pastika memberitahu media bahawa sebuah universiti teknologi sedang dibina dengan kerjasama dua universiti.

Difahamkan, universiti yang dinamakan Upaya Indonesi Damai itu akan dirasmikan Presiden Joko Widodo sekitar pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, pemeriksaan turut menunjukkan bahawa MIT sudah menjalin sebuah bentuk kerjasama pendidikan dengan Malaysia yang membawa kepada penubuhan Asia Business School (ASB), sebuah kerjasama antara Bank Negara dan MIT Sloan School of Management.

Fakulti ASB dan ahli lembaganya turut terdiri daripada ahli akademik terkemuka Amerika, termasuk pengasas MIT Sloan Charles Fine, Athanasios Orphanides dan Richard Schmalensee serta Davids Schmittlein.