- Iklan -
Berita

Bersatu kecam perang media terhadap Azam, tidak adil bagi penjawat awam

Bersatu mahu SPRM terus menjalankan tugas mereka dengan berani dan tidak harus takut dengan komplot untuk menjatuhkan imej penjawat awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gambar: Bernama
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gambar: Bernama

Bersatu memberi amaran terhadap sebarang percubaan menggunakan media bagi membuat tuduhan terhadap penjawat awam, mengatakan serangan pemimpin politik terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki menjejaskan pelaksanaan proses undang-undang.

“Ini adalah kerana penjawat awam, di dalam menjalankan tugas mereka, adakalanya akan dijadikan sasaran kerana ketegasan mereka,” kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dalam sebuah kenyataan ketika pelbagai serangan disasarkan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM tersebut.

“Penjawat awam, khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas mereka dengan berani dan tidak harus takut menjalankan amanah mereka hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh dan perbicaraan mahkamah.”

Azam menjadi sasaran serangan dalam beberapa artikel oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO C4 Center, mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pemilikan saham syarikat.

Sebagai respons, Azam turut menghantar surat tuntutan terhadap Lalitha Kunaratnam, penulis artikel tersebut selain satu laporan yang dibuat oleh SPRM terhadapnya, mengatakan dakwaan aktivis itu adalah palsu dan tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) turut menggesa supaya Azam “direhatkan” dan mahu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang disiasat kerana mendapati ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai konflik kepentingan dalam isu pemilikan saham.

Bersatu berkata semua pihak mesti memberi ruang supaya siasatan dapat dijalankan tanpa prejudis oleh polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Ia turut menyambut baik penjelasan yang diberikan Azam sendiri berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, mengatakan ia menunjukkan integriti beliau yang tinggi sebagai penjawat awam.

“Kerelaan beliau untuk disiasat oleh pihak berkuasa juga harus dipuji dan isu kebertanggungjawaban beliau sebagai KP SPRM tidak harus dibangkitkan di dalam hal ini,” kata Faizal.

Katanya, “suara-suara yang nyaring” di media yang menggembar-gemburkan isu urusniaga saham tersebut dan menggesa Azam dilucutkan jawatan mempunyai agenda tertentu yang sanggup mengabaikan prinsip undang-undang bahawa “seseorang adalah tidak bersalah melainkan telah dibuktikan sebaliknya”.

“Nampaknya, mereka ingin menghukum Azam sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara.

“Agensi SPRM adalah amat penting di dalam agenda membanteras rasuah dan perang media sebegini untuk memulaukan Azam dengan memainkan isu sebegini nampaknya bertujuan memberi persepsi negatif kepada reputasi KP dan SPRM.”