- Iklan -
Berita

Bekas CFO 1MDB nafi nama digugur daripada saman untuk babitkan Najib

Azmi Tahir berkata tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya dan beliau juga tidak tahu mengapa tidak didakwa berhubung skandal kewangan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak bersetuju namanya digugurkan daripada saman kerajaan bagi membolehkannya mengaitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak di mahkamah.

Azmi, 49, bagaimanapun bersetuju bahawa mereka yang namanya disenaraikan sebagai saksi akan dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan, telah dikeluarkan daripada senarai defendan dalam saman itu, manakala yang lain seperti bekas CFO 1MDB Radhi Mohamad disaman.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hariharan Tara Singh pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Hariharan: Adakah anda bersetuju bahawa orang yang tidak dipanggil sebagai saksi, nama mereka kekal sebagai defendan dalam saman itu?

Azmi: Nampak macam tu lah.

Pada Ogos 2021, dilaporkan 1MDB telah menggugurkan tindakan sivil terhadap Azmi dan enam defendan lain.

Saksi pendakwaan ke-12 itu juga berkata beliau hanya membaca di media bahawa 1MDB telah memfailkan saman terhadapnya dan beberapa individu tahun lepas namun beliau tidak pernah diserahkan salinan tuntutan mahkamah itu.

Beliau berkata tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya dan beliau juga tidak tahu mengapa tidak didakwa berhubung skandal kewangan itu.

Hariharan: Walaupun kamu menjadi penandatangan bersama dan pengarah anak syarikat 1MDB, kamu bertanggungjawab mengumpul dana, namun tiada pertuduhan dibuat terhadap kamu?

Azmi: Saya tidak tahu kenapa tiada pertuduhan jenayah terhadap saya.

Hariharan: Terdapat pertuduhan jenayah terhadap timbalan kamu, Terence Geh, Jasmine Loo (peguam 1MDB) dan Low Taek Jho, tetapi sebagai CFO kamu tidak didakwa.

Azmi: Sekali lagi, saya tidak tahu mengapa sesetengah orang tidak didakwa, CEO saya tidak didakwa, lembaga pengarah saya juga tidak didakwa, dan mengapa mereka didakwa dan saya tidak didakwa.

Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju bahawa beliau tidak pernah menerima arahan langsung daripada Najib, kerana tertuduh bukan sebahagian daripada pengurusan mahupun lembaga pengarah 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.