- Iklan -
Berita

Azam bidas dakwaan terhadapnya, pertimbang tindakan undang-undang

Azam Baki berkata dakwaan terhadap beliau adalah pembohongan bagi menjatuhkan reputasinya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang didakwa berhubung isu pemilikan saham-saham syarikat mengatakan kesemuanya sudah dipindahkan ke akaun adiknya.

Azam berkata pendedahan itu dibuat bagi memburukkan reputasinya yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun bersama SPRM sambil menambah tindakan undang-undang bakal diambil kepada pihak-pihak yang didakwa berniat jahat itu.

“Mengenai tuduhan saya mengawal banyak syarikat, ini pembohongan oleh pihak-pihak tersebut untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya. Oleh itu setelah mendapat nasihat peguam, saya membuat tindakan undang-undang terhadap mereka yang cemarkan reputasi saya.”

Azam berkata, terdapat usaha pihak-pihak berkepentingan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap SPRM untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap badan itu.

“Mereka menggunakan pihak-pihak tertentu untuk beri tekanan kepada SPRM.”

Beliau menegaskan, tiada kesalahan dibuat apabila membenarkan adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga menggunakan akaunnya bagi membeli saham di pasaran terbuka.

Beliau tidak menjelaskan mengenai tindakan saman tersebut mahupun pihak yang bakal dibawa ke mahkamah, namun katanya, pemilik akaun twitter “Edisi Siasat” berkemungkinan besar akan diheret.

Menurut Azam, sikap berdiam dirinya sebelum ini ialah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam urus niaga itu.

Beberapa pihak membangkitkan mengenai isu pemilikan saham itu sebelum ini termasuk bekas ahli panel perunding Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Edmund Gomez.

Gomez menyatakan ketidakpuasan hatinya kerana tiada siasatan dijalankan terhadap Azam berhubung perkara itu dan meletakkan jawatan sebagai anggota panel tersebut.

Peguam veteran, Haniff Khatri Abdulla turut mengesyorkan jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen pembangkang, Gobind Singh menggesa perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil tindakan dan tidak terus mendiamkan diri.