Sunday, May 22, 2022

Mengejar ‘American dream’ dengan adunan budaya Malaysia

Vlogger Logesh dan Rachel membicarakan tentang kepentingan untuk mengekalkan budaya dalam keluarga.

Other News

Kurang setahun yang lalu, Logesh Kumaar dan isterinya, Rachel memulakan saluran YouTube mereka dengan memberi tumpuan mengenai keluarga dan “pengembaraan gila-gila mereka”.

Sebagai anak kelahiran Klang, Logesh sering berkongsi mengenai budaya Malaysia bersama Rachel yang merupakan seorang warga Amerika Syarikat (AS).

Perkongsian mereka berjaya mendapat sambutan ramai penonton yang terhibur melihat Logesh mengajar mengajar Rachel untuk bercakap Bahasa Melayu dan menikmati masakan dan makanan Malaysia.

Bagi mereka, usaha silang budaya tidak terhenti setakat bahasa dan makanan.

Logesh dan Rachel bersama anak mereka, Kyren.

Logesh dan Rachel juga turut cuba menerapkan nilai-nilai dari budaya Malaysia dan Amerika dalam membesarkan dua anak lelaki mereka, Zaden dan Kyren.

“Saya cenderung mendidik anak dengan cara Amerika kerana saya dibesarkan begitu, namun ada sebahagian cara didikan ibu bapa Asia yang kami adaptasi,” kata Rachel dalam temu bual bersama MalaysiaNow.

“Dalam mendidik anak-anak, kami akan guna apa yang terbaik dari kedua-dua budaya.”

Namun mengenai aspek terbaik dari Malaysia, sudah tentu makanannya akan menjadi satu hal penting.

Menurut Logesh dan Rachel, bahagian yang terbaik dalam didikan ibu bapa Asia adalah ketika memperkenalkan kepada anak-anak mereka kepada pelbagai makanan dari masyarakat pelbagai kaum Malaysia.

“Bila anak-anak sampai pada usia tertentu, kami kenalkan mereka makanan-makanan yang kami makan,” kata Logesh.

Logesh Kumar ketika ditemu bual MalaysiaNow baru-baru ini.Dengan cara itu, mereka berharap anak-anak membesar dengan menghargai banyak aspek budaya Malaysia yang wujud dalam makanan-makanannya.

Logesh dan Rachel bersetuju anak-anak mereka perlu belajar mengenai budaya Malaysia.

Sebagai seorang warga AS, Rachel mengatakan warisan budaya yang ada padanya mudah luntur dan sukar dijejaki.

Walaupun AS memiliki budayanya yang tersendiri, namun ia tidaklah sekukuh budaya di Malaysia.

“Saya membesar tanpa mengetahui budaya saya sendiri.

“Keluarga saya sudah tinggal di Amerika sejak beberapa generasi, namun saya tak pernah benar-benar rasa patriotik terhadap negara sendiri,” katanya.

“Namun Logesh ada hubungan yang dalam negara dan orang-orangnya. Saya mahu anak-anak jadi sepertinya, saya mahu mereka tahu siapa diri mereka, bercakap bahasanya dan mahu mereka rasa ada hubungan dengan Malaysia.”

Rachel turut membandingkan perbezaan budaya yang ada antara dua negara.

Menurutnya, individualisme kental di AS sementara Malaysia memiliki nilai dan semangat kolektif yang lebih kuat.

Rachel membicarakan budaya Amerika Syarikat yang berbeza berbanding Malaysia.

Oleh kerana itu, katanya, warga Malaysia mempunyai sistem sokongan yang kuat ekoran nilai-nilai komuniti, kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh.

“Logesh masih ada kawan-kawan yang dia kenal sejak umurnya tujuh tahun.

“Sehingga hari ini, kawan-kawannya sanggup lakukan apa sahaja untuknya dan dia pun sanggup buat apa sahaja untuk kawannya. Saya fikir itu adalah satu perkara yang unik.”

Walaupun tidak menafikan ada juga sisi gelap Malaysia, Logesh masih percaya dengan kecantikan yang ada pada Malaysia.

“Orang kata pada kita ahli politik ini teruk, tapi pada saya, tak ada satu negara yang sempurna,” katanya.

“Setiap negara ada cacatnya. Apa yang menjadikan sebuah negara itu indah adalah orang-orangnya. Orang yang ada di sini adalah hal yang paling penting buat kami – ahli keluarga dan kawan-kawan adalah hal yang paling kami peduli, tidak kisahlah apa orang lain kata.”

Logesh sudah berada di AS lebih dari 10 tahun, namun dia merancang untuk pulang ke Malaysia dan membawa keluarganya bersama-sama tinggal di sini.

Katanya, sebab dia mahu pulang termasuk apa yang disifatkannya sebagai budaya persaingan yang ada di AS.

Menurutnya, orang-orang yang tinggal di AS, terutama di “Silicon Valley” sentiasa berusaha dan meletakkan kerjaya mereka mengatasi segala hal lain.

Dia mengatakan budaya itu menyebabkan orang di sekeliling mereka turut sama terkesan di mana ia menjadi punca semua orang keletihan dalam jangka masa panjang.

“Saya tak mahu hidup seperti itu selama-lamanya. Saya mahu capai tahap di mana saya rasa puas dengan keluarga saya sendiri,” katanya.

“Saya yakin tak ada satu amaun wang yang dapat buat kita gembira. Kami sedar tak ada gunanya untuk berhempas pulas tanpa henti.”

Ini jugalah yang menyebabkan mengapa Kumar dan Rachel berfikir betapa penting budaya dan warisan tetap hidup dan keluarga dan seterusnya diwariskan kepada anak-anak.

Bagi mereka, apabila seseorang mengetahui tentang asal usul, ia sentiasa boleh dijadikan sebagai satu rujukan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles