- Iklan -
Berita

Chef muda ajar masakan Cina halal untuk perpaduan rakyat Malaysia

Woh Jia Le ia tidak pernah menyesal dengan keputusan meninggalkan dapur hotel lima bintang untuk membuat video kandungan di media sosial.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Chef Woh Jia Le bersama masakan ayam 'sweet and sour' yang menyelerakan.
Chef Woh Jia Le bersama masakan ayam 'sweet and sour' yang menyelerakan.

Di suatu tengah hari dalam tempoh berkurung akibat sekatan pergerakan pandemik Covid-19, Woh berasa bosan dengan rutinnya yang sekadar tidur dan makan. 

Dia mula memikirkan sesuatu untuk dibuat tetapi tiada satu ilham datang menjengah. 

Sehingga satu hari, rakannya seorang Melayu bertanya: “Macam mana saya nak masak lauk orang Cina yang halal?" 

Seperti memetik suis lampu, satu idea pantas hadir ke fikirannya. 

Dia nekad untuk membuat kandungan video memasak masakan-masakan tradisi kaum Cina dalam versi halal, iaitu tanpa menggunakan bahan masakan berunsur daging babi, wain dan minyak khinzir. 

Tanpa dia sedari, langkah dan niatnya itu membawa lembaran baru dalam hidupnya. 

JiaLeWoh-MNow-010722-12

Woh atau nama penuhnya, Woh Jia Le, 24 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor berkhidmat sebagai chef profesional di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur. 

Semuanya mula berubah sewaktu pandemik apabila sektor pelancongan ditutup dan restoran tempatnya bekerja juga tidak beroperasi. 

Woh mula memuat naik video pertama masakannya di media sosial pada Januari 2021 dengan menu pertama Kueh Teow Kantonis (Cantonese Char Kueh Teow), satu menu popular di restoran-restoran Cina. 

Selepas itu, lebih banyak kandungan video dihasilkan dan mendapat perhatian ramai pihak. 

Sehingga kini, video-video masakan Woh sudah mencecah ke 2.3 juta tontonan bagi resepi nasi ayam hainan. 

Selain mengubah resepi asal kepada versi halal dan juga vegetarian, video Woh juga mendapat perhatian ramai kerana berkomunikasi dalam bahasa Melayu. 

Dia berinteraksi dengan slogan "sedikit MSG" yang menjadi kegemaran para pengikutnya. 

Ini memberikan peluang kepada para penonton yang terdiri daripada pelbagai kaum memahami kandungan video yang disampaikan. 

"Dulu masa mula-mula rakam video masakan, bahasa saya teruk. Tetapi penonton tak kira orang Melayu atau India, mereka tak kritik saya. 

"Mereka ajar saya. Contohnya saya cakap nak goreng nasi pastikan nasi ‘longgar’. Tetapi mereka ajar saya, bukan longgar. Guna perkataan betul iaitu ‘lerai’.

"Saya rasa terharu dan semakin lama saya suka semangat yang dibawakan oleh para pengikut saya kerana setiap kali saya buat siaran langsung mereka memberikan komen yang membakar semangat," katanya dalam satu sesi wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini. 

Woh Jia Le terkenal dengan keletah yang ceria dalam video-video yang dibuatnya.
Woh Jia Le terkenal dengan keletah yang ceria dalam video-video yang dibuatnya.

Woh mengakui niat asalnya memang mahu mengenalkan budaya-budaya kaum Cina melalui masakan. 

Pada masa sama, dia menyedari bahawa terlalu kurang masakan-masakan Cina versi halal disediakan di Malaysia. 

Malah, katanya, restoran masakan Cina Muslim juga tidak banyak dan boleh ditemui hanya di kawasan bandar. 

"Susah untuk kawan-kawan Melayu dan India nam rasa masakan Cina. Melalui video-video masakan saya di media sosial, saya harap mereka boleh belajar dan cuba masak sendiri," katanya sambil menambah video pendek dan ringkas lebih memudahkan penonton untuk belajar. 

Mengulas lanjut, Woh berkata dia mengambil peluang untuk mendedahkan budaya dan tradisi masyarakat Cina kepada para pengikutnya dengan memperkenalkan menu-menu tradisional seperti Bak Chang (ketupat Cina). 

Menu itu dipilih memandangkan ianya satu menu lama secara turun temurun masyarakat Cina dan seni pembuatannya sangat melambangkan budaya kaum itu yang teliti dan bersungguh-sungguh. 

"Cara balut dan menyediakan Bak Chang betul-betul masih mengekalkan tradisi orang Cina. 

"Terdapat satu festival dalam masyarakat Cina yang memerlukan kita sediakan Bak Chang. Tahun ini, saya dapat menyambutnya dengan kaum Melayu dan India. Saya ajar mereka buat ketupat Cina bulan Mei lalu." 

Sambutannya amat meriah, kata Woh, sehingga kini masih ramai para pengikutnya di media sosial aktif berkongsi gambar-gambar juadah tersebut. 

"Saya sangka mereka tidak akan mencuba kerana susah untuk dibuat. Tetapi sebaik sahaja saya tengok gambar yang dikongsikan, saya menangis. 

"Air mata saya mengalir sebab terharu. Mereka betul-betul mencuba dan menghargai masakan itu. Dan niat saya untuk memperkenalkan budaya saya sudah tercapai," katanya. 

Selain Bak Chang, Woh turut memperkenalkan Bak Kut Teh versi halal iaitu Chi Kut Teh dengan menggantikan sumber protein daging babi kepada ayam. 

Dia turun mendapat permintaan tinggi daripada para pengikutnya di media sosial untuk menyediakan video masakan bagi menu seperti "Mapo tofu", telur goreng tiram (oyster omelette) dan ayam goreng masam manis. 

Perjalanan makin jauh 

Pada pembikinan video pertamanya, Woh dan rakan baiknya, Han Sheng membuat rakaman di dapur rumah sewa mereka di Cheras, Kuala Lumpur. 

Mereka berdua mengambil masa sehari untuk membeli barang-barang dan bahan masakan. 

Selepas itu, mereka akan duduk berbincang tentang kaedah masakan yang sesuai untuk digunakan.

Kemudian, Woh akan memasak dan Han Sheng merakamkannya menggunakan telefon bimbit. 

Proses suntingan pula akan mengambil masa beberapa hari sebelum dikongsikan pada platform media sosial. 

Kini, dua rakan baik itu sudah menyewa studio kecil di Kepong. 

Woh meletakkan masakannya dalam sebuah mangkuk selepas selesai memasak dari kuali.
Woh meletakkan masakannya dalam sebuah mangkuk selepas selesai memasak dari kuali.

Mereka juga sudah mempunyai tiga lagi kru kerja yang baru yang menjadi bahagian pengurusan, penyuntingan video dan pemasaran. 

Sebelum memulakan kerjaya sebagai chef selebriti, Woh menghabiskan usianya menuntut ilmu masakan di sebuah akademi di Pudu, Kuala Lumpur. 

Dia menjalani latihan amali di Hotel Mandarin Oriental. 

Selepas itu dia bekerja di sebuah hotel lima bintang Grand Millennium, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur. 

Woh menyifatkan dia tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk meninggalkan dapur di restoran mewah dan berada di hadapan kamera untuk memasak menu yang diolah sendiri. 

Katanya, dia lakukan semua itu demi "anak Malaysia". 

"Harapan saya, semangat dan perpaduan orang Malaysia lebih bersatu dan kukuh melalui makanan.

“Ini cara saya," katanya sambil menambah video-video masakannya sudah ditonton sehingga ke Brunei, Singapura dan Indonesia.