- Iklan -
Berita

Putrajaya bertanggungjawab naikkan had minimum usia perkahwinan bagi gadis Islam, kata kumpulan hak asasi

LFL berkata kerajaan tertakluk kepada tanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian antarabangsa dan tidak boleh membenarkan negeri buat keputusan berhubung perkara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perkahwinan di bawah umur menjadi adat sebahagian masyarakat di Malaysia. Gambar: AP
Perkahwinan di bawah umur menjadi adat sebahagian masyarakat di Malaysia. Gambar: AP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam keputusan kerajaan untuk mengekalkan had usia minimum perkahwinan gadis beragama Islam pada 16 tahun, mengatakan Putrajaya bertanggungjawab berdasarkan komitmen terhadap pelbagai perjanjian antarabangsa untuk melakukan segala upayanya bagi mencegah perkahwinan kanak-kanak.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata takrifan “kanak-kanak” sudah jelas termaktub di bawah Akta Umur Dewasa 1971 yang mengatakan seseorang yang berusia bawah 18 tahun dianggap usia di bawah umur dewasa.

“Ini selari dengan takrif yang ada dalam Artikel 1 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasi Malaysia pada 1995,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga sudah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) pada tahun yang sama, disebabkan itu, katanya, Putrajaya bertanggungjawab untuk melaksanakan Artikel 16(2) bagi mencegah perkahwinan kanak-kanak.

Pada 16 Disember, Menteri Hal Ehwan Agama Idris Ahmad berkata had usia minimum bagi perkahwinan gadis Islam akan dikekalkan pada usia 16 tahun.

“Berdasarkan maklum balas dan pandangan yang diterima, kebanyakan negeri secara dasarnya bersetuju mengekalkan had umur sedia ada sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat.

Idris berkata hal itu ditetapkan dalam Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Bil. 1/2021 pada 22 September lepas setelah mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri.

Namun Zaid berkata Putrajaya bertanggungjawab untuk melaksanakan semua perjanjian antarabangsa seperti termaktub dalam Senarai Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dengan mengatakan isu perkahwinan gadis Islam adalah dalam bidang kuasa eksklusif negeri.

“Dengan menggunakan alasan ini, kerajaan secara sedar melanggar tanggungjawab antarabangsa Malaysia di bawah Cedaw dan CRC, di mana ia adalah satu tindakan salah dalam undang-undang antarabangsa.”

Sebaliknya, beliau berkata Putrajaya perlu meminda Perlembagaan bagi memberikan kuasa kepadanya untuk menaikkan had minimum usia berkahwin bagi gadis Islam.