- Iklan -
Berita

Perkahwinan kanak-kanak 12 tahun cetus tunjuk perasaan di Iraq

Aktivis hak asasi manusia di Iraq membantah dengan membawa sepanduk menyatakan 'perkahwinan kanak-kanak bawah umur adalah jenayah'.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan NGO wanita mengadakan tunjuk perasaan membantah perkahwinan kanak-kanak di Kadhimiya, Baghdad pada 21 November. Gambar: AFP
Kumpulan NGO wanita mengadakan tunjuk perasaan membantah perkahwinan kanak-kanak di Kadhimiya, Baghdad pada 21 November. Gambar: AFP

Mahkamah Iraq menangguhkan perbicaraan mengenai permohonan seorang lelaki yang mahu pengiktirafan perkahwinannya dengan seorang gadis berusia 12 tahun namun dibantah ibu kanak-kanak itu.

Di luar mahkamah Baghdad, aktivis hak asasi manusia membantah dengan membawa sepanduk menyatakan “perkahwinan kanak-kanak bawah umur adalah jenayah’.

Umur sah berkahwin di Iraq ialah 18 tahun tetapi boleh diturunkan kepada 15 sekiranya ibu bapa atau kehakiman bersetuju.

Peguam ibu kepada kanak-kanak itu, Marwan Obeidi berkata kes itu ditangguhkan sehingga 28 November.

Menurut badan amal Save the Children, perkahwinan agama tidak dibenarkan di luar mahkamah sivil atau agama namun perkahwinan jenis ini masih kerap berlaku dan disahkan dengan hanya membayar sedikit denda.

Ibu kanak-kanak yang enggan dikenali itu berkata anak perempuannya, Israa telah “dirogol” dan suaminya adalah orang yang menculik kanak-kanak itu daripada jagaannya.

Jabatan kementerian dalam negeri yang menangani keganasan terhadap wanita berkata, mereka sudah bertemu dengan Israa, bapanya dan suami kanak-kanak itu serta dan telah melihat dokumen akad nikahnyadan mereka memberi jaminan bahawa dia tidak dipaksa.

Perkahwinan kanak-kanak perkara biasa berlaku di kawasan konservatif dan luar bandar Iraq serta negara Arab lain.