Saturday, January 22, 2022

70% kes cerai di Negeri Sembilan kerana suami gagal beri nafkah

Faktor kewangan dan pendapatan yang rendah selain perselisihan faham menjadi antara faktor rumah tangga bermasalah.

Other News

Sebanyak 70% dari 2,600 kes perceraian di Negeri Sembilan sejak 2016 hingga kini adalah berpunca daripada kegagalan atau kecuaian suami memberi nafkah kepada isteri.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) Abas Nordin berkata ia mungkin disebabkan faktor kewangan dan pendapatan yang rendah selain perselisihan rumah tangga sehingga suami culas memberikan nafkah kepada isteri dan keluarga.

“Kesungguhan suami itu perlu walaupun diberhentikan kerja atau dicutikan tanpa gaji dengan mencari pendapatan lain sebagai contoh ada suami yang bekerja jurutera tetapi kerja jual ikan untuk tambah pendapatan.

“Tidak semua perkahwinan berjaya, ada yang dilanda badai serta berakhir dengan perceraian. Trend ini perlu dibendung supaya masalah rumah tangga dapat diatasi seterusnya mewujudkan masyarakat yang sejahtera serta negara makmur, aman dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas program Karnival Literasi Undang-Undang Syariah 2021 hari ini.

Abas berkata program berkenaan bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai terhadap undang-undang syariah khususnya mengenai kepentingan dan tanggungjawab pemberian nafkah.

Beliau berkata ia juga secara tidak langsung membantu memberikan kefahaman terutama kepada golongan wanita untuk menggunakan undang-undang syariah dalam menyelesaikan masalah rumah tangga.

Dalam perkembangan lain, Abas berkata JKSNS turut bercadang untuk menubuhkan Mahkamah Utama serta Mahkamah Khas Hadhanah dan Nafkah Anak di negeri ini bagi meningkatkan hierarki Mahkamah Syariah sekali gus dapat menyelesaikan kes hadanah dan nafkah dengan segera.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles