Friday, January 21, 2022

Malaysia tidak iktiraf kripto sebagai mata wang, kata timbalan menteri

Menurut Yamani Hafez Musa, Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia instrumen bayaran membabitkan kripto.

Other News

Malaysia tidak mengiktiraf mata wang kripto termasuk Bitcoin dan Ethereum sebagai mata wang yang sah diperlakukan bagi urus niaga harian.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata mata wang kripto juga bukan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini.

“Mata wang kripto tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan mata wang ini tidak menunjukkan ciri universal wang.

“Secara umumnya, mata wang kripto bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaan mata wang kripto yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu dan pendedahan kepada ancaman siber dan kekurangan daripada segi boleh skala,” katanya ketika menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berhubung penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian di Dewan Rakyat hari ini.

Pada November lalu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa pengharaman mata wang kripto sebagai komoditi atau aseet digital tidak sah dijual beli.

“Ia mengandungi gharar, dharar, qimar, dan tidak memenuhi syarat sil’ah (nilai) secara syarie,” kata Asrorun Niam Sholeh yang mengetuai majlis fatwa MUI.

Gharar (penipuan), dharar (mudarat), qimar (perjudian) yang disebut oleh Asrorun itu adalah beberapa unsur yang menjadi alasan fatwa pengharaman mata wang kripto oleh MUI tersebut.

Bagaimanapun, pakar kewangan Islam Mohd Daud Bakar yang mempengerusikan badan penasihat syariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak bersetuju dengan fatwa tersebut.

Menurut Daud, kripto adalah satu bentuk baru komoditi yang boleh digunakan untuk pelaburan.

Beliau berkata harus untuk membeli mata wang digital tersebut, selain dibolehkan untuk menyimpan atau menjualnya pada masa hadapan apabila harganya meningkat.

Beliau tidak menafikan terdapat pelbagai pandangan dan perspektif tentang kripto, yang mula digunakan sekitar satu dekad lalu.

Menurutnya, walaupun kripto merupakan komiditi, ia juga boleh berperanan seperti wang atau sebagai alat pertukaran untuk mendapatkan barangan.

Beliau turut membandingkannya dengan penebusan ganjaran selepas mengumpul mata.

“Jadi apakah hukum kita gunakan mata ganjaran untuk tebus mendapatkan barangan? Ia dibenarkan oleh syariah.

“Begitu juga dalam konteks kripto.

“Ia merupakan satu abstrak (alat yang tak nampak) seperti mata ganjaran untuk beli barang atau dijual apabila nilanya meningkat atau susut.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles