Saturday, January 22, 2022

Pakar kanan kewangan Islam tidak setuju fatwa berhubung mata wang kripto

Pandangan beliau adalah respons terhadap fatwa haram Majlis Ulama Indonesia berhubung penggunaan mata wang digital tersebut.

Other News

Seorang pakar kewangan Islam tidak bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan kumpulan ulama Indonesia yang memutuskan mata wang kripto sebagai haram, mengatakan ia adalah satu bentuk baru komoditi yang boleh digunakan untuk pelaburan.

Mohd Daud Bakar yang yang mempengerusikan badan penasihat syariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata harus untuk membeli mata wang digital tersebut, selain dibolehkan untuk menyimpan atau menjualnya pada masa hadapan apabila harganya meningkat.

Tahun lalu, katanya, Majlis Penasihat Syariah SC yang berperanan menasihat perkara berkait pasaran modal Islam bagi suruhanjaya itu mengambil pendirian bahawa perdagangan kripto adalah patuh syariah.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat pelbagai pandangan dan perspektif tentang kripto, yang mula digunakan sekitar satu dekad lalu.

Beliau berkata ulama perlu mengkaji secara teliti dan memhami beberapa aspek dalam sistem mata wang berdasarkan syariah Islam.

Daud turut ditanya mengenai fatwa yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia yang mengisytiharkan Bitcoin dan beberapa mata wang kripto lain sebagi haram, mengatakan terdapat unsur spekulasi dalam perdagangannya yang serupa dengan perjudian.

“Kripto sebagai komoditi atau aset digital tidak sah dijual beli kerana mengandungi gharar, dharar, qimar, dan tidak memenuhi syarat sil’ah (nilai) secara syarie,” kata Asrorun Niam Sholeh yang mengetuai majlis fatwa MUI.

Gharar (penipuan), dharar (mudarat), qimar (perjudian) yang disebut oleh Asrorun itu adalah beberapa unsur yang menjadi alasan fatwa pengharaman mata wang kripto oleh MUI tersebut.

Daud menjelaskan kripto merupakan aset baru jenis komoditi yang boleh digunakan dalam bidang pelaburan.

“Dalam syariah, perkara yang dilabelkan sebagai haram apabila ia mempunyai unsur riba, perjudian dan gharar (ketidaktentuan),” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut beliau, ketidaktentuan yang disebut dalam fatwa Indonesia berkaitan kripto bukanlah merujuk kepada harga tetapi “zat” (kewujudan) aset tersebut.

“Jika disebut harga, semua mata wang, emas, minyak ada naik turun.

“Sama ada pergerakan harga secara mendadak atau sederhana, ia tidak mempunyai kesan terhadap shariah,” katanya.

Mata wang kripto, sebuah bentuk pembayaran dalam talian di luar bidang kuasa bank-bank pusat mengambil tempat meluas dalam transaksi digital sejak pelancaran Bitcoin, mata wang awal kripto sejak dilancarkan pada 2009.

Kini, wujud lebih 15,000 mata wang sedemikian yang memiliki nilai keselurhan lebih dari AS$2.3 trilion setakat bulan ini, dengan nilai keseluruhan Bitcoin direkodkan sekitar AS$1 trilion.

Menurut Daud, kripto adalah aset baru yang tidak dapat dibandingkan dengan aset-aset lain kerana mempunyai asas tersendiri, sambil menambah pelabur beralih ke mata wang kripto kerana ketidakpercayaan terhadap mata wang lain selain mudah dan cepat digunakan.

Daud yang turut menganggotai badan-badan syariah bank dan institusi kewangan di Timur Tengah dan Eropah berkata SC juga mengenal pasti empat mata wang dalam talian sebagai patuh syariah, termasuk Bitcoin, Ethereum dan Ripple.

Beliau berkata, walaupun kripto merupakan komoditi, ia juga boleh berperanan seperti wang atau sebagai alat pertukaran untuk mendapatkan barangan.

Beliau turut membandingkannya dengan penebusan ganjaran selepas mengumpul mata.

“Jadi apakah hukum kita gunakan mata ganjaran untuk tebus mendapatkan barangan? Ia dibenarkan oleh syariah.

“Begitu juga dalam konteks kripto.

“Ia merupakan satu abstrak (alat yang tak nampak) seperti mata ganjaran untuk beli barang atau dijual apabila nilanya meningkat atau susut.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles