Tuesday, January 18, 2022

Kes 1MDB Najib ditangguh lagi kerana status MySejahtera

Mahkamah tidak benarkan prosiding dilaksanakan secara hibrid.

Other News

Perbicaraan kes 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi sekali lagi ditangguhkan berikutan status MySejahtera beliau masih di tahap kuning yang mengklasifikasikan bekas perdana menteri itu sebagai individu dalam pengawasan (PUS).

Dalam pada itu, hakim Collin Lawrence Sequerah turut menolak permohonan pendakwaan supaya perbicaraan dijalankan secara hibrid yang membolehkan Najib dan peguamnya menyertai prosiding secara dalam talian.

“Selepas mempertimbangkan hujah pihak pembelaan, buat masa ini saya memutuskan untuk menolak prosiding secara dalam talian, tetapi saya tidak menolaknya pada masa hadapan,” kata hakim sekali gus menangguhkan prosiding pada 16 Disember.

Semalam, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya mahkamah membenarkan perbicaraan secara hibrid dijalankan di bawah Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, yang membolehkan mahkamah mengadakan prosiding jarak jauh bagi perbicaraan Najib yang kini dilarang masuk ke kompleks mahkamah berikutan status MySejahtera beliau.

Seksyen itu membolehkan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi menjalankan prosiding melalui pautan video atau televisyen secara langsung atau sebarang cara komunikasi elektronik lain.

Pihak pembelaan dijadualkan menyoal balas saksi pendakwaan ke-13, bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir apabila perbicaraan bersambung pada Khamis.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles