Friday, January 28, 2022

Nyawa, kelangsungan hidup terancam dengan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

Penduduk bimbang kekerapan tanah runtuh di tanah tinggi itu menjadi lebih teruk sehingga mengganggu keselamatan dan punca rezeki mereka.

Other News

Penduduk di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya menzahirkan kebimbangan terhadap kelangsungan perniagaan dan kehidupan mereka berikutan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua nyawa di jalan Simpang Pulai menuju Cameron Highlands pada 2 Disember.

Menurut Tok Batin Kampung Pawong, Ismail Baloh, kejadian tanah runtuh itu menggemparkan masyarakat Orang Asli di kampung itu memandangkan kawasan kejadian hanya dua kilometer dari kampung tersebut.

“Kebetulan saya hendak ke pejabat di Batu Gajah, bila saya keluar pada hari itu, ada nampak dua jentera bomba.

“Beberapa minit kemudian baru saya tahu ada kejadian tanah runtuh,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kampung Pawong, penempatan Orang Asli yang mempunyai kira-kira 29 isi rumah berdepan dengan kemungkinan bencana alam yang lebih buruk.

Dua kenderaan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu membabitkan kematian seorang pemandu lori dan seorang pemandu Toyota Vellfire.

Katanya, insiden terbaru itu merisaukan pihaknya kerana kejadian tanah runtuh semakin dekat dengan kampung tersebut.

Tanah runtuh kebiasaan terjadi di kawasan yang lebih jauh, kira-kira empat kilometer daripada kampung tersebut.

Kampung itu, yang mempunyai kira-kira 29 isi rumah juga pernah mengalami rekahan tanah beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami di sini risau sebab kawasan ini banyak cerun. Apa-apa projek pun yang sedang dijalankan, berisiko kepada Orang Asli,”katanya.

Selain bimbangkan keselamatan diri, katanya punca pendapatan golongan muda Orang Asli turut terjejas apabila jalan ke Cameron Highlands ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja pembaikan.

“Sumber pendapatan mereka di atas sana (Cameron), bila tutup jalan, terjejas sikit pendapatan harian mereka yang berulang-alik dari kampung ke Cameron.” jelasnya.

Beberapa hari selepas kejadian pertama, tanah runtuh kedua dilaporkan di Brinchang sehingga merosakkan dua kenderaan.

Seorang pemilik inap desa atau homestay di Tanah Rata terpaksa berdepan dengan beberapa pembatalan selepas kejadian itu.

“Bila kami (pemilik inap desa) dapat tahu ada runtuhan, kami berharap tiada tetamu yang batalkan tempahan kerana semua orang sedang dalam fasa pemulihan.

“Ada juga yang saya dapat pujuk untuk teruskan tempahan atau sekurang-kurangnya pinda tarikh sahaja

“Ini kerana beberapa tempahan itu membabitkan jumlah rumah yang banyak,” kata Muhammad Azmir Abdul Rahman kepada MalaysiaNow.

Kerja-kerja pembaikan dilakukan selepas rekahan tanah di kampung itu pada 2018. Kegusaran Ismail mempunyai asasnya apabila tanah runtuh berlaku semakin hampir dengan lokasi kampung berkenaan.

Katanya, meskipun memahami ketakutan pengunjung, dia dan pemilik inap desa akan memaklumkan kepada tetamu mengenai jalan lain untuk ke atas tanpa perlu melalui Simpang Pulai.

Kata Azmir, runtuhan tanah kali ini memang menakutkan orang luar kerana mengakibatkan kematian.

Sebelum ini katanya, ada runtuhan namun tidak terlalu serius, malah jalan tempat berlaku tanah runtuh juga boleh dibuka selepas beberapa jam.

Sementara itu, penasihat kumpulan alam sekitar Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman ketika mengulas mengenai kejadian itu berkata, pergerakan tanah di atas bukit secara semula jadi berlaku apabila kadar curahan hujan yang tinggi atau dipengaruhi oleh kerja-kerja tanah untuk tujuan pertanian di kawasan berhampiran.

“Ciri-ciri geofizikal kawasan berbukit adalah merupakan kawasan sensitif kepada sebarang kegiatan yang melibatkan pengubahan tanah sedia ada kerana struktur tanah mudah terhakis.

“Kegiatan pegubahan tanah yang ketara kepada lain-lain penggunaan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada air larian permukaan dan hakisan lereng semasa hujan lebat yang boleh berlakunya banjir lumpur,” katanya.

Sebelum itu, pada 2018, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menitahkan semua aktiviti di kawasan tanah tinggi yang bersempadan dengan Cameron Highlands perlu dihentikan.

Namun kata Meor, titah itu seakan tidak diendahkan.

“Selepas itu ada juga aktiviti kerja-kerja tanah untuk tujuan pertanian berskala besar di kawasan berhampiran sehingga menimbulkan gangguan kepada kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan berhampiran.”

Ismail yang berharap agar tiada lagi kejadian yang tidak diingini itu berkata, dia mahu agar pihak berwajib memantau apa sahaja penerokaan tanah dan projek pembangunan, selain menguatkuasakan undang-undang.

“Pihak berwajib janganlah mempersendakan apa yang dianugerahkan Allah. jangan salah guna apa yang diberikan kepada kita.

“Bersyukur dengan apa yang kita dapat, cukuplah,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles