- Iklan -
Berita

DUN Pahang lulus pindaan had umur Adun kepada 18 tahun

Pindaan itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
DUN Pahang bakal menyaksikan Adun semuda 18 tahun jika mereka tampil bertanding pilihan raya sekaligus menang di negeri itu. Gambar: Bernama
DUN Pahang bakal menyaksikan Adun semuda 18 tahun jika mereka tampil bertanding pilihan raya sekaligus menang di negeri itu. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Cadangan pindaan had umur terhadap Perkara 19 undang-undang itu yang dikemukakan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dengan Adun Chini Mohd Sharim Md Zain menyokong, diluluskan sebulat suara pada persidangan hari ini.

Yang Dipertua DUN Ishak Muhamad berkata hanya Adun Kemayan Mohd Fadhil Osman tidak menghadiri persidangan kali ini atas sebab kesihatan.

Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Sementara itu, Adun Pelangai Adnan Yaakob mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri khususnya kepada Penasihat Undang-Undang Pahang Saiful Edris Zainuddin atas pindaan itu yang disifatkan sebagai prihatin untuk melakukan perubahan supaya selari dengan kerajaan Persekutuan dan tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan.

“Saya juga berharap lebih banyak undang-undang lain yang sudah lama dikaji atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat perkara ini kerana jika dilihat pada ucapan Menteri Besar (Wan Rosdy) sebelum ini, ada akta tahun 1939 yang masih digunakan,” katanya.