- Iklan -
Berita

‘Wallahi’ saya tak pernah arah RM42 juta dimasuk dalam akaun, kata Najib

Bekas perdana menteri itu bertegas bahawa beliau tidak berperanan dalam transaksi dana SRC International yang disifatkan hakim sebagai 'malu kepada negara'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Najib Razak yang berkumpul di istana kehakiman semalam bagi menyatakan sokongan moral kepada bekas perdana menteri itu.
Penyokong Najib Razak yang berkumpul di istana kehakiman semalam bagi menyatakan sokongan moral kepada bekas perdana menteri itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini sekali lagi bersumpah menggunakan nama Allah beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta SRC International ke dalam akaun peribadinya, sehari selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan atas salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Najib berkata beliau tidak pernah memainkan peranan dalam transaksi dana yang besar tersebut yang didakwa diderma oleh Raja Abdullah.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, saya nyatakan atas nama Allah.

“Wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak minta dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta itu.”

Najib sudah beberapa kali bersumpah menggunakan cara Islam bagi menafikan tuduhan terhadap beliau.

Beliau dua kali bersumpah demikian sepanjang perbicaraan kesnya tahun lalu.

Beliau juga sebelum ini pernah ke masjid untuk mengisytiharkan tidak bersalah dalam pembunuhan melibatkan seorang warga Mongolia Altantuya Shaariibu pada 2006.

Namun dalam hujah pembelaan Najib berkata beliau tidak mengetahui mengenai transaksi yang berlaku pada 2014 dan 2015, mendakwa beliau juga menjadi mangsa kepada ahli perniagaan Jho Taek Low atau dikenali sebagai Jho Low.

Malah beliau juga turut memetik nama pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah.

Dakwaan Najib yang berkata wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan peribadi raja Arab Saudi kepadanya ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Nazlan berkata “sangat tidak masuk akal” bagi Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mendakwa tidak mengetahui dana dalam akaunnya sendiri “namun beliau tidak teragak-agak untuk membelanjakan jumlah tersebut dalam tempoh yang sama”.

Berhubung empat pucuk surat dari daripada “kerabat diraja Saudi”, kononnya derma besar akan diberikan kepadanya.

Hakim Nazlan berkata kisah daripada surat-surat itu adalah “satu rekayasa yang lemah”, menghuraikan “10 masalah” yang ada pada dokumen tersebut, yang dikatakan pihak pendakwaan sebagai dokumen palsu.

Antara “masalah” yang ada pada dokumen itu, kata hakim, ialah salah satu surat yang menjanjikan sejumlah besar wang untuk Najib ditandatangani oleh seorang “Putera Arab Saudi”.

Hakim mempersoalkan bagaimana Najib yang mengaku tidak mengenali individu tersebut, tidak pernah mengambil langkah untuk membuat sebarang pengesahan mengenai dakwaan penulis surat itu.

Dalam penghakiman semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil sepakat untuk mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu yang mensabitkan kesalahan tujuh pertuduhan terhadapnya.

Beliau turut mengkritik hujah pembelaan bahawa pinjaman berjumlah RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International, dari mana RM42 juta kepada Najib berasal, diluluskan atas kepentingan negara.

“Tidak ada kepentingan negara ketika RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib, ia hanya memberi malu kepada negara,” kata Karim.

Dalam pada itu, Najib dalam hantarannya di Facebook turut berkata beliau akan terus mempertahankan diri bahawa beliau tidak bersalah.

“Peringkat rayuan seterusnya adalah Mahkamah Persekutuan dan saya percaya akan mendapat keadilan.

“Mungkin inilah perjalanan yang ditakdirkan. Saya hadapi dengan tenang dan redha.

“Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.”