- Iklan -
Berita

Dr M lebih percaya taikun jahat, saya mahu selamatkan duit pembayar cukai, kata Tony Pua

Pua berkata beliau diarah untuk memantau beberapa isu berhubung projek tersebut namun tidak pernah terlibat dalam usaha tawar-menawar dengan pemaju hartanah yang terlibat.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Damansara dari DAP Tony Pua tampil mengakui dirinya adalah individu yang dirujuk Dr Mahathir Mohamad dalam memoir terbarunya yang bakal dilancarkan, melancarkan serangan ke atas bekas perdana menteri itu kerana memihak kepada “ahli perniagaan jahat” yang dikatakan membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Perkara ini timbul selepas laporan MalaysiaNow yang memetik Mahathir daripada bukunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, di mana bekas perdana menteri itu menuduh pembantu bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng masuk campur dalam urusan kerajaan termasuk membuat ugutan terhadap pemaju yang terlibat dalam projek bermasalah di pusat bandar.

Pua berkata projek yang dimaksudkan itu adalah projek Exchange106, bangunan pencakar langit yang merupakan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, yang dibangunkan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berkait dengan taikun kontroversi Indonesia Djoko Tjandra.

Namun beliau berkata tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha rundingan dengan syarikat tersebut, sambil menambah Lim memberikan arahan kepada beliau untuk “memantau perkembangan dan resolusi” isu-isu berkenaan projek tersebut.

“Masalahnya adalah, saya tidak boleh ‘mengugut’ pemaju hartanah itu kerana saya tak pernah berjumpa mahu pun bercakap dengan mereka!” kata Pua, sambil menambah usaha rundingan dengan syarikat tersebut dijalankan oleh timbalan ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Asri Hamidon dan TRX City Sdn Bhd – syarikat dimiliki kementerian kewangan yang juga pemaju utama Tun Razak Exchange.

Pua berkata Djoko marah disebabkan proses ketekunan wajar (due diligence) yang diminta oleh kementerian kewangan, bertemu dengan Mahathir dalam sebuah pertemuan yang diatur oleh “salah seorang daripada penasihat yang dipercayai Mahathir”.

“Mahathir marah apabila diberitahu oleh Pak Joe bahawa Tony Pua sudah ‘mengugut’ untuk ambil alih pegangan saham Mulia sebanyak 49% hanya dengan harga RM1 selepas syarikat itu melabur lebih dari RM1.1 bilion dalam projek itu.

“Malangnya, beliau (Mahathir) pilih untuk percaya kata-kata taikun asing yang jahat, di mana dia sebelum ini disabitkan kesalahan menipu ratusan bilion rupiah dari Bank Bali pada 2009; dan kemudian disabitkan sekali lagi kerana pemalsuan dokumen pada 2020 dan rasuah pada 2021,” kata Pua, merujuk kepada Djoko.

Projek RM3 bilion Exchange106 menghadapi masalah selepas pemaju gagal mendapatkan pinjaman bagi separuh daripada kos projek tersebut.

Pua berkata syarikat itu ditawarkan dana oleh pentadbiran Najib, dengan timbal balik kerajaan diberikan pemilikan “sementara” sebanyak 51% daripada projek tersebut.

Pua berkata susulan tuduhan terhadapnya, Mahathir memanggil Lim pada November 2018, sekitar enam bulan Pakatan Harapan memegang pentadbiran kerajaan.

Namun Pua berkata Lim mempertahankan peranan beliau dalam isu dengan pemaju hartanah, sambil menambah tindakan kementerian kewangan itu diluluskan selepas beberapa kali perbincangan diadakan dalam Kabinet.

Pua turut berkata beliau bangga dengan “peranan kecil yang diambilnya… bagi melindungi kepentingan pembayar cukai Malaysia”, selain turut menambah ia juga bagi memastikan projek tersebut diselesaikan tanpa sebarang kerugian ditanggung oleh kerajaan.

“Mahathir sepatutnya berbangga dengan kerajaan beliau kerana berjaya melindungi kepentiangan rakyat dalam skandal berbilion ringgit dan rekodkan pencapaian beliau itu dalam memoirnya.

“Namuan beliau pilih untuk tulis perkara yang remeh dan menulis bagaimana beliau dapat ‘menyekat’ seorang setiausaha politik bawahan dalam kementerian kewangan.”

Dalam memoirnya, Mahathir tanpa menamakan Pua, berkata beliau terpaksa “menyekat” seorang pemimpin DAP yang didapati menyertai mesyuarat tanpa kebenaran.

“Ada juga beberapa ketika penasihat ini bercakap secara terbuka bagi pihak kerajaan walaupun tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian,” kata Mahathir.

“Ia bukan cara kerajaan berfungsi, dan saya hentikan semua perkara sebegini, namun tindak-tanduk begitulah yang membolehkan cybertrooper Umno memainkan isu rasa tidak selamat dalam kalangan kaum,” tulisnya dalam memoir setebal 304 muka surat yang bakal menemui pelanggan di kedai buku utama bulan ini.