Saturday, January 22, 2022

Pendedahan: Selangor bakal hilang 600 ekar tanah kepada Berjaya Land?

Ia susulan usaha sama untuk projek mega pembangunan di sepanjang Sungai Klang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri dengan tahap kewangan kritikal.

Other News

Selangor akan menjual majoriti saham dan ratusan ekar tanah milik kerajaan Selangor kepada gergasi hartanah Berjaya Land sebagai langkah menyelesaikan bebanan kewangan melibatkan sebuah projek mega bernilai RM10 bilion, menurut penemuan MalaysiaNow.

MalaysiaNow difahamkan ia melibatkan sebanyak 600 ekar tanah dan 55% pegangan saham anak syarikat kerajaan negeri Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), yang akan dijual kepada Berjaya Land menerusi sebuah usaha sama.

Selangor Maritime Gateway (SMG) dirancang untuk dibangunkan di atas tanah milik kerajaan negeri seluas 600 ekar, yang meliputi 56km jajaran Sungai Selangor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM10 bilion.

Sumber yang arif dengan projek itu berkata, LLSB telah menerima dana pinjaman dari kerajaan negeri berjumlah RM45 juta untuk tujuan fasa permulaan projek tersebut.

“Namun sehingga kini, syarikat telah mengalami kerugian terkumpul sehingga RM40 juta,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebuah laporan audit mengesahkan masalah kewangan dialami LLSB, di mana ia menyatakan dengan jelas kelangsungan atau “going concern” syarikat berada pada tahap yang sangat kritikal.

Sementara laporan audit dalaman ke atas LLSB mengenalpasti 11 isu yang diklasifikasikan sebagai kritikal.

Ia termasuk kegagalan memberikan beberapa maklumat mengenai peruntukan kos projek.

Menurutnya, projek itu bakal mencatatkan kerugian RM3.2 bilion sekiranya kos tambahan itu diambil kira ke dalam kos projek.

Selain itu, laporan audit mengesahkan projek itu diluluskan tanpa menjalankan kajian teknikal tanah, pengenalpastian tanah, serta kajian risiko projek yang komprehensif.

“Sehingga Jun 2020, tiada sebarang bukti berdokumen yang menunjukkan bahawa kajian risiko komprehensif telah dilaksanakan untuk memastikan matlamat projek itu tercapai dengan lancar mengikut garis masa dan kos ditetapkan,” tambahnya.

LLSB juga didakwa tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Pada 2019, ahli lembaga pengarahnya meluluskan bonus empat bulan, kenaikan gaji 6%, dan lonjakan gaji pengarah urusan dari RM29,000 kepada RM37,000 sebulan walaupun syarikat tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menjana operasi.

Syarikat itu juga dibebankan kerugian terkumpul dan hutang besar yang membimbangkan.

Laporan audit itu turut mendedahkan LLSB tidak mampu untuk membayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri mengikut garis masa asal yang telah dipersetujui dan akan mengalami kelewatan purata sehingga 18 bulan.

Siasatan MalaysiaNow mendapati terdapat usaha pihak pengurusan dan pemegang saham untuk tidak melaporkan laporan audit ini kepada kerajaan negeri untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan terkini, Berjaya Land mengumumkan usaha sama dengan LLSB untuk menjalankan pembersihan, pemulihan dan pembangunan Sungai Klang.

Syarikat usaha sama itu dinamakan Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLSB), di mana Berjaya Land memiliki 55% saham dan bakinya 45% dimiliki LLSB.

Sumber berkata transaksi tersebut tidak dijalankan secara tender terbuka tetapi menerusi rundingan terus dengan Berjaya Land.

Langkah menyerahkan projek kepada syarikat swasta itu dipersoalkan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham, yang menyifatkannya sebagai “bailout” untuk masalah kewangan yang dihadapi LLSB.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles