- Iklan -
Berita

Muhyiddin cadang tubuh jawatankuasa khas Kabinet tangani harga barang, perkhidmatan

Pengerusi MPN itu turut mengatakan akan gerai barangan keperluan murah akan dianjurkan oleh gabungan Perikatan Nasional di seluruh negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan sebuah jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, mengatakan peningkatan inflasi yang mungkin dihadapi negara bakal membebankan pengguna.

Menurut Muhyiddin, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan telah meningkat sebanyak 12.3% pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna.

“Rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan pengerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) turut berkata beliau telah memutuskan supaya gabungan itu menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

Katanya, keputusan itu adalah bagi “membantu meringankan beban rakyat dalam berdepan waktu yang sukar ini”.

Kenaikan harga barang telah menjadi rungutan pengguna sehingga Perdana Menteri Ismail Sabri sendiri turut memberikan amaran kepada pembekal untuk tidak menaikkan harga barangan.

Semalam, Ismail menggesa kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) menjalankan kajian terperinci berhubung faktor kos pengeluaran.

“Kita (kerajaan) mahu maklumat bagi harga kos di setiap rantaian bekalan.

“Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan keperluan disebabkan faktor kos pengeluaran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Ronald Kiandee selaku ahli Majlis Tertinggi PN dan naib presiden Bersatu yang juga merupakan menteri pertanian dan industri makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi penganjuran gerai tersebut.

“Saya berharap agensi penguatkuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

“Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar,” tegasnya.