Saturday, January 22, 2022

Pejabat ahli perniagaan di Bangsar diserbu dalam siasatan gubah wang, lari cukai

Siasatan terhadap Vinod Sekhar libatkan pelbagai agensi yang berurusan dengan jenayah kewangan.

Other News

Pelbagai agensi penyiasatan menyerbu pejabat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan berpangkalan di Kuala Lumpur, Vinod Sekhar, dipercayai sebagai sebahagian permulaan siasatan salah satu kes pengubahan wang terbesar sejak siasatan skandal 1MDB tiga tahun lalu.

MalaysiaNow difahamkan pegawai-pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan serbuan ke atas premis Petra Group.

Petra Group adalah syarikat yang mengendalikan rangkaian beberapa syarikat dan organisasi, diketuai oleh Vinod yang merupakan seorang ahli perniagaan yang juga penyokong kuat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sumber rapat dengan siasatan tersebut memberitahu MalaysiaNow serbuan itu dijalankan kira-kira dua minggu lalu di Bangsar, susulan siasatan selama beberapa bulan berhubung dakwaan pengubahan wang dan pengelakan cukai melibatkan ratusan juta ringgit.

Sumber turut berkata pegawai penyiasat merampas “beberapa dokumen dan barangan” sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

Difahamkan juga, serbuan itu dilakukan ketika Vinod berada di luar negara.


Ahli perniagaan Malaysia peroleh bahagian terbesar kontrak Hungary bernilai berbilion ringgit

Badan anti-rasuah Hungary gambarkan rundingan pembelian alat pernafasan sebagai ‘penyalahgunaan’

Pemantau anti-rasuah desak kerajaan Hungary dedah butiran kontrak setengah bilion dolar kepada ahli perniagaan Malaysia


Ketika dihubungi, pegawai tertinggi NFCC dan SPRM enggan mengulas atau memberikan butiran lanjut, respons biasa badan-badan itu berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang.

Vinod, 53, adalah anak kepada mendiang BC Sekhar yang diiktiraf kerana jasanya memodenkan industri getah Malaysia.

Beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi pada 2005 namun dibersihkan daripada status muflis pada tahun lalu.

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Vinod melalui GR Technologies, sebuah syarikat dengan alamat di Bangsar memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan ventilator atau alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Hungary yang membeli ventilator daripada pelbagai pembekal mencetuskan kekecohan tahun lalu ketika pandemik Covid-19 memuncak di Eropah selepas ahli politik pembangkang menyelar dan mengecam pemberian kontrak kerajaan itu, menyifatkannya sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.

Mereka juga berkata ventilator yang dibeli oleh Hungary adalah terlalu mahal, mempersoalkan mengapa pembelian itu dibuat melalui kementerian luar negara.

Vinod mengesahkan menerima kontrak itu namun menegaskan “semuanya mengikut landasan yang betul”, sambil menambah beliau menerima “peratusan biasa” dalam bentuk komisen.

Dokumen yang diperoleh MalaysiaNow dari Hungary menunjukkan Budapest bersetuju untuk membayar kepada Vinod sejumlah AS$559,600,000 melalui beberapa akaun bank, yang pada masa kontrak diberikan pada Mei 2020 bernilai hampir RM2.43 bilion.

Badan pemantau anti-rasuah Transparency International (TI) turut menggesa Hungary untuk mengeluarkan butiran khusus berkaitan kontrak kepada Vinod, menyatakan terdapat persoalan sama ada GR Technologies memenuhi garis panduan ketelusan di negara itu.

Cawangan TI di Hungary juga turut mempersoalkan mengapa Budapest bersetuju untuk membayar beberapa fi yang dikenakan GR Technologies kepada pihak ketiga, selain turut mempertikaikan sama ada kerajaan Hungary memberikan kontrak tersebut melalui proses tender terbuka yang kompetitif atau tidak.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles