- Iklan -
Berita

PN ‘makan’ undi Melayu PH dalam PRN Melaka, kata penganalisis

Penganalisis berkata pengundi Cina agak marah dengan memorandum persefahaman (MoU) PH dengan kerajaan, malah DAP pula dilihat senyap sejak ia dilaksanakan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi

Kemunculan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ternyata memberikan impak yang besar apabila berjaya “mencuri” jumlah undi cukup signifikan hingga menjejaskan prestasi Pakatan Harapan (PH) terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

Beberapa penganalisis politik yang dihubungi MalaysiaNow, berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka sememangnya sudah dijangka memandangkan negeri itu merupakan  kubu kuat Umno namun kehadiran Bersatu dilihat berjaya mengutip undi baki Melayu yang tidak menyokong parti itu berbanding PH.

Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata PN sememangnya memecahkan undi dengan meraih sejumlah undi daripada BN dan PH, bagaimanapun, ia dilihat memberi kesan yang lebih besar terhadap gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

“Bukan sahaja undi PH lari ke PN, mereka juga gagal menarik pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan BN supaya beralih kepada PH,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sebaliknya, undi tersebut beralih ke PN kerana pengundi terus berasa tidak selesa dengan tawaran PH selain kecewa dengan prestasi mereka sejak 2018.”

Sebelum ini Presiden Amanah Mohamad Sabu mengakui kekalahan PH disebabkan Bersatu yang membawa undi Melayu kepada gabungan itu pada 2018.

“Jika (undi diperolehi Bersatu) dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Martadha Mohamed, berkata disebabkan 19 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merangkumi majoriti pengundi Melayu, ini sekali gus memberi kelebihan kepada Umno.

“Sokongan akar umbi Umno cukup kukuh, jadi PH dan PN akan rebut baki sokongan Melayu yang tidak inginkan parti itu.

“Justeru, PH dan PN akan rebut baki sokongan Melayu yang tidak inginkan Umno,” katanya.

Pengundi Cina tak puas hati terhadap DAP

Namun begitu, James Chin dari University of Tasmania berkata, kejayaan PN meraih undi bukan sahaja faktor utama kekalahan PH.

Beliau berpendapat, pengundi Cina agak marah dengan memorandum persefahaman (MoU) PH dengan kerajaan, malah DAP pula dilihat senyap sejak ia dilaksanakan.

“Jadi saya berpendapat pengundi Cina tidak berpuas hati terhadap DAP, dan ditambah dengan jumlah peratusan undi yang rendah, ini memberi kelebihan besar kepada BN,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 20 November, BN kembali sebagai kerajaan negeri Melaka apabila berjaya meraih 21 kerusi DUN sekali gus menewaskan PH hanya dapat lima kerusi manakala PN sebanyak dua kerusi.

Keputusan itu disifatkan sebagai satu kejutan terutama bagi PH apabila PKR tewas dalam semua 11 kerusi yang dipertandingkan manakala Amanah hanya berjaya meraih satu kerusi iaitu di DUN Bukit Katil.

Berdasarkan statistik undi, BN meraih 38.39% (122,741) undi popular manakala PH dan PN masing-masing meraih 35.65% (113,968 undi) dan 24.47% (78,220 undi).

Menurut Oh, keputusan PRN Melaka boleh disifatkan sebagai kejayaan BN mengembalikan status politik mereka di Melaka, namun begitu, pencapaian PN walaupun tidaklah begitu besar, cukup memainkan peranan sebagai pemecah undi atau “spoiler” kepada BN dan PH.

“Kejayaan di Melaka meningkatkan keyakinan Umno, malah ada yang berpandangan supaya boleh tinggalkan PN.

“Namun ini mungkin akan memberi kesan negatif memandangkan PN meraih undi yang cukup signifikan di Melaka yang mana ia boleh menjadi sebagai pemecah undi pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Di samping itu, Martadha berkata pencapaian di Melaka tidak boleh dijadikan sebagai pengukur prestasi BN pada masa hadapan dan mereka masih memerlukan bantuan seperti PAS dan Bersatu sekiranya ingin menang pada pilihan raya seterusnya.

“Umno perlu ambil pengajaran dari PRN Melaka, misalnya keputusan PH mengambil Adun yang lompat parti serta peralihan undi Cina yang tidak dijangka.

“Justeru, ini bukanlah sesuatu yang bakal menjadi trend pada masa hadapan dan Umno tidak boleh mendabik dada.

“Bantuan PAS dan Bersatu pada PRU seterusnya dilihat masih relevan,” katanya.

Sementara itu, Chun menyifatkan pencapaian MCA dan MIC merupakan kejutan terbesar pada PRN Melaka.

“Ini nampak seperti kelahiran semula BN. Tetapi saya jangkakan sokongan terhadap mereka agak terhad di Melaka sahaja,” katanya.

“Tambahan jumlah pengundi berusia 18 dan 19 tahun yang dijangka seramai 8 hingga 9 juta orang pada PRU15 pastinya akan menghasilkan situasi yang lebih berbeza.”

Beliau turut menyifatkan PRN kali ini sebagai pilihan raya yang pelik memandangkan parti politik tidak dibenarkan untuk berkempen secara bersemuka.

“Ini akan menjadi medan uji kaji dan melatih semua parti untuk berkempen cara baru serta membuat persediaan mengharungi PRN Sarawak.

“Ini juga penting untuk kita lihat bagaimana parti teras Melayu seperti Umno dan Bersatu akan terus menarik sokongan pengundi Melayu,” katanya.