- Iklan -
Berita

Kerangka jaringan keselamatan ekuiti tidak ambil hak kaum lain, kata PM

Menurut Ismail, syarikat swasta tidak tertakluk kepada cadangan tersebut, sebaliknya tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah kawal selia sektor berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Cadangan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika membentangkan RMK12 di Dewan Negara hari ini, beliau berkata syarikat swasta tidak tertakluk kepada cadangan tersebut, sebaliknya tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah kawal selia sektor yang berkenaan.

“Ini bagi memastikan penjualan saham dan syarikat oleh syarikat tempatan kepada pemilik asing akan dapat dikawal dan seterusnya dapat memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak terhakis,” katanya.

Kerangka tersebut, kata beliau akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat milik agensi mandat Bumiputera, hanya ditawar dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.

Beliau berkata  antara agensi mandat Bumiputera terlibat ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menyumbang peratusan terbesar kepada pemilikan ekuiti Bumiputera serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

Ismail juga memberi jaminan agenda Bumiputera akan terus diperkasa seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, namun pada masa sama akan terus memberi perhatian kepada Keluarga Malaysia yang berpendapatan rendah, kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum.

“Hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil dan saksama serta inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.