- Iklan -
Berita

Kerajaan Melaka bakal tumbang selepas 4 Adun tarik sokongan

Mereka ialah Idris Haron, Nor Azman Hassan, Norhizam Hassan Baktee dan Noor Effandi Ahmad.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali. Gambar: Facebook
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali. Gambar: Facebook

Kerajaan negeri Melaka berkemungkinan tumbang apabila spekulasi perubahan sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali oleh empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terjawab hari ini.

Diketuai bekas ketua menteri yang juga Adun Sungai Udang, Idris Haron, tiga lagi Adun ialah Adun Pantai Kundur, Nor Azman Hassan, Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” katanya pada sidang media hari ini.

Idris terdahulu menafikan kepada MalaysiaNow mengenai khabar angin lompat parti atau tarik sokongan.

“Kami pun letak jawatan (sebagai exco) bermakna kerajaan sudah tak ada,” tambahnya.

Ditanya mengenai sebab menarik sokongan, Idris berkata keputusan kerajaan yang disifatkan sebagai “flip-flop” menjadi punca tindakan empat Adun itu.

Idris berkata, beliau dan Azman bersedia berhadapan tindakan disiplin daripada Umno atas tindakan menarik sokongan.

Katanya, kerjasama keempat-empat Adun itu membentuk kerajaan negeri baru bersama Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada kesediaan gabungan itu sendiri.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata 11 Adun gabungan itu bersama empat Adun bebas mahu mengadakan pertemuan dengan TYT Mohd Ali Rustam bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil untuk mengembalikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan.

Ini merupakan kali kedua kerajaan negeri Melaka tumbang dalam satu penggal.

Terdahulu, kerajaan negeri Melaka pimpinan Adly tumbang pada 2020 selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat.