Wednesday, October 27, 2021

Pegawai awam wajib divaksin, tindakan diambil jika gagal, kata JPA

Kewajipan vaksinasi itu adalah demi mengembalikan keyakinan kepada seluruh penduduk terhadap institusi awam dalam negara.

Other News

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini berkata pihaknya akan mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan untuk mengambil vaksin Covid-19 dan sekiranya gagal mengambil vaksinasi mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Dalam sebuah kenyataan, JPA berkata tindakan mewajibkan vaksinasi tersebut adalah selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November 2021.

“Dalam tempoh ini pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, JPA berkata pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan kepada ketua jabatan berhubung maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan dan sekiranya gagal melakukan demikian tindakan akan diambil.

“Sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.”

Semalam Putrajaya mengumumkan peralihan Lembah Klang yang terdiri dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor ke Fasa Tiga PPN.

Selain Lembah Klang, Melaka juga turut beralih ke Fasa Tiga berkuat kuasa 1 Oktober.

Sementara itu, negeri-negeri di Fasa Satu PPN juga turut beralih ke Fasa Dua.

Peralihan seluruh negera ke Fasa Dua dan ke atas menjadikan seluruh penduduk Malaysia dapat menikmati beberapa kelonggaran dalam sektor ekonomi dan sosial dengan peratusan vaksinasi lengkap dalam negara telah melebihi 80% setakat ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles