Friday, October 22, 2021

Bekas menteri Wilayah Persekutuan sokong pemaju dapatkan tanah KL

Sokongan Khalid terhadap pemaju itu dilihat bercanggah dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang tidak membenarkan amalan surat sokongan menteri dan bahkan tandatangannya digunakan.

Other News

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad membantu sebuah syarikat pemaju swasta untuk mendapatkan kelulusan bagi memindahkan plot tanah pada 2019, walaupun polisi Pakatan Harapan (PH) ketika itu tidak membenarkan surat sokongan, termasuk minit menteri.

Khalid Samad, yang menjadi menteri Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran 22 bulan kerajaan PH secara peribadi memastikan surat rayuan daripada pemaju tersebut ditangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar.

Malaysianow sudah melihat salinan surat tersebut.

Syarikat tersebut menulis kepada Khalid kurang enam bulan selepas PH mengambil alih Putrajaya, memohon untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.

Difahamkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan meluluskan permohonan syarikat tersebut pada Disember 2017, namun ia kemudiannya dibatalkan pada November 2018.

Disebabkan itu, syarikat tersebut mengambil keputusan untuk menulis surat rayuan secara terus kepada Khalid pada Disember 2018.

“Pihak kami juga amatlah berharap agar pihak YB Tuan dapat memberi sokongan penuh dalam menimbang semula keputusan pembatalan terhadap pemberimilikan tanah ini memandangkan pembangunan yang dicadangkan ini dapat membina keupayaan Usahawan Bumiputera seperti kami ini untuk memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negera yang kurang memberangsangkan di masa kini,” kata syarikat tersebut dalam kandungan surat yang dilihat MalaysiaNow.

Susulan itu, Khalid mengarahkan setiausaha politiknya, Azli Yusof untuk merujuk perkara tersebut kepada pejabat tanah.

Azli dalam sebuah surat kira-kira tiga bulan kemudian memaklumkan kepada syarikat permohonan mereka dirujuk kepada pejabat tanah, dan pihak menteri “tiada halangan” berhubung perkara tersebut.

Pada November 2019, selepas satu lagi rayuan daripada syarikat sama, Khalid menulis nota kepada ketua setiausaha negara dan datuk bandar Kuala Lumpur: “Harap dapat diluluskan kerana selaras dengan wawasan KWP”.

Semakan lanjut oleh MalaysiaNow turut mendedahkan beberapa nama yang biasa dilihat dalam lembaga pengarah syarikat tersebut, termasuk penyokong parti dan ahli perniagaan bergelar Datuk.

Sementara adik kepada bekas perdana menteri mempunyai kepentingan terhadap entiti tersebut.

Permohonan Khalid tersebut dilakukan ketika kerajaan PH berkata tidak mahu mengamalkan budaya menulis surat sokongan oleh ahli politik bagi permohonan tender atau projek.

Amalan tersebut nampaknya tetap diteruskan, seperti yang ditunjukkan dalam kontroversi melibatkan pembantu bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menulis surat kepada setiausaha politik kepada menteri pendidikan sebelum ini, Maszlee Malik bagi menyokong sebuah syarikat mendapatkan kontrak di sebuah sekolah di Sabah.

Pada November 2019, rakan Khalid dalam Amanah, Salahuddin Ayub dikecam hebat selepas berkata tidak melihat sebarang kesalahan untuk menulis surat sokongan kepada perdana menteri bagi menyokong tender RM1 bilion diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Tahun lalu, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata semasa berkuasa, PH mengingatkan semua menteri dan timbalan menterinya agar tidak menulis surat sokongan atau memberikan arahan yang dilihat boleh mempengaruhi sebarang keputusan.

“Satu-satunya hal yang dibenarkan adalah penggunaan ‘untuk pertimbangan’ atau ‘diharap pihak anda meneliti perkara ini’,” kata Loke.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles