- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa tidak teruskan rayuan keputusan mahkamah berhubung kerakyatan jika ikhlas

Lawyers for Liberty berkata keputusan Mahkamah Tinggi selari dengan cadangan pindaan dan miliki kuasa undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AP
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kenyataan menteri dalam negeri pada sidang Dewan Rakyat berhubung rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kewarganegaraan automatik bagi anak wanita warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara, mengatakan tiada alasan bagi Putrajaya meneruskan langkah tersebut.

Penyelaras LFL Zaid Malek berkata kenyataan Hamzah Zainudin rayuan itu adalah bagi “mendapatkan masa lebih panjang” untuk meminda Perlembagaan adalah tidak masuk akal.

“Tidak perlu buat rayuan kerana keputusan mahkamah ketika ini sudah sesuai dengan cadangan pindaan, dan keputusan tersebut memiliki kuasa undang-undang.

“Daripada buat rayuan, kerajaan perlu memastikan Jabatan Pendaftaran Negara patuh keputusan baru-baru ini sementara cadangan pindaan tersebut sedang diusahakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah sebelum ini berkata di Dewan Rakyat beliau terikat dengan Perlembagaan dan undang-undang tentang kewarganegaraan, sambil menambah permohanan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu perlu dilakukan bagi mengelak daripada menghina mahkamah perlanggaran peruntukan Perlembagaan.

Beliau berkata kementeriannya berhasrat untuk membangkitkan masalah tersebut kerana polisi kerajaan baru adalah untuk meminda Perlembagaan, namun usaha itu memerlukan persetujuan dari Majlis Raja-Raja Melayu agar selari dengan Artikel 159 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing berhak untuk mewarisi kerakyatan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan bahawa perkataan “bapa” dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan juga harus bermaksud dan memasukkan ibu.

Namun, pada 13 September kerajaan memutuskan untuk memafailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Zaid berkata keputusan Mahkamah Tinggi “pada hakikatnya adalah perkara utama yang ingin dikuatkuasakan oleh pindaan tersebut”.

“Jadi, tiada alasan bagi kerajaan untuk melanjutkan rayuan tersebut,” tambahnya.

Beliau juga turut menolak pandangan keputusan mahkamah yang bertentangan sebelum itu boleh menyekat kerajaan daripada mematuhi keputusan terbaru berhubung perkara tersebut.

“Kerajaan boleh terus batalkan sahaja rayuan itu ketika sidang di Mahkamah Rayuan pada November. Oleh itu, isu penghinaan terhadap mahkamah tidak timbul.

“Keputusan (mahkamah), yang selari dengan pindaan yang mahu diusahakan kerajaan, membolehkan kerajaan melaksanakan keputusan tersebut sehingga ia kemudian dimasukkan dalam pindaan tersebut. Tidak perlu ada rayuan untuk ‘dapatkan masa’ yang lebih panjang,” katanya.