Saturday, October 23, 2021

Mengapa rayu untuk nafikan taraf kerakyatan adil, kumpulan peguam soal kerajaan

Lawyers for Liberty berkata kebimbangan kerajaan berhubungan keselamtan negara adalah 'tidak masuk akal'.

Other News

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar langkah kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan kerakyatan automatik bagi bayi yang dilahirkan di luar negara dari ibu warga Malaysia, mengatakan tidak sepatutnya wujud diskriminasi gender dalam pelaksanaan undang-undang negara.

Dalam sebuah kenyataan, Koordinator LFL Zaid Malek memetik dakwaan menteri dalam negeri sebelum ini yang mengatakan pemberian taraf kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara boleh mengancam keselamatan negara dan kedaulatannya kerana mereka mungkin mendapat dua kerakyatan.

“Satu hal yang tak masuk akal untuk bayangkan kanak-kanak boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara dengan alasan-alasan tersebut,” katanya.

“Ini bukan alasan yang baik untuk menafikan hak wanita Malaysia untuk memilih kerakyatan anak-anak mereka, terutama kebimbangan yang sama tidak terpakai pada lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, di mana anak-anak mereka boleh mendapat salah satu daripada negara ibu bapanya.”

9 September lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak kelahiran luar negara wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing berhak untu mendapat kerakyatan secara automatik.

Hakim Akhtar Tahir berkata wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing memiliki hak yang sama dengan lelaki yang berkahwin dengan wanita asing.

Saman tersebut difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, pada 18 Disember tahun lalu.

Mereka menuntut enam perintah mahkamah termasuk pengisytiharan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan bayi kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara boleh mendapat kerakyatan secara automatik.

Zaid berkata “tafsiran sempit” peruntukan undang-undang tersebut telah menyebabkan ramai kaum ibu warga Malaysia terpaksa “hidup dalam kebimbangan jika anak-anak mereka mungkin hidup tanpa pengiktirafan kerakyatan”.

“Pertimbangan yang lebih besar juga perlu difikirkan berhubung kesan terhadap masa depan anak tersebut jika dibiar tanpa kewarganegaraan disebabkan tafsiran berdasarkan gender terhadap Perlembagaan,” tambahnya.

Beliau turut berkata Malaysia adalah salah sebuah dari 25 negara yang meneruskan diskriminasi terhadap wanita dalam undang-undang kewarganegaraannya.

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk membatalkan rayuannya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut.

“Keputusan kerajaan memanjangkan kesukaran dihadapi ibu-ibu di Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing ketika mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anak yang dilahirkan di luar negara tidak boleh diterima,” katanya.

“Kami percaya Mahkamah Tinggi tidak khilaf ketika membaca Perkara 8 and Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan secara bersama kerana tidak ada diskriminasi gender dalam pelaksanaan undang-undang kita.

“Ini adalah masanya Malaysia terus jalan ke hadapan menyertai majoriti negara lain dalam mengiktiraf ibu bapa, tanpa mengira gender, harus memiliki hak untuk mewariskan kerakyatan kepada anak-anak mereka.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles