Sunday, September 26, 2021

Malaysia yang stabil, baik untuk Singapura, serantau

Menteri itu menyatakan bahawa Singapura dan Malaysia akan sentiasa saling berkaitan dan bergantung.

Other News

Malaysia yang stabil dan makmur baik untuk Singapura dan rantau ini, kata menteri luar republik itu Vivian Balakrishnan.

Balakrishnan berkata demikian di Parlimen hari ini sebagai menjawab pertanyaan, antara lain, adakah keadaan politik semasa di Malaysia memberi implikasi terhadap Singapura.

“Kerajaan Singapura mengikuti rapat perkembangan di Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa “pendirian Singapura adalah konsisten iaitu bekerja dengan kerajaan hari ini (government of the day).”

Menteri itu menyatakan bahawa Singapura dan Malaysia akan sentiasa saling berkaitan dan bergantung.

“Kami komited untuk terlibat dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia yang baru untuk memperoleh hasil dan manfaat bersama bagi jangka panjang.

“Ini sangat penting agar kedua-dua negara kita dapat pulih daripada pandemik Covid-19 dan menjadi lebih kuat,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa kerjasama dua hala akan terus berkembang demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Balakrishnan berkata pemimpin Singapura sudahpun mengenali Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan anggota Kabinetnya.

“Dan selama ini bekerjasama dengan mereka dalam pelbagai isu dua hala dan serantau,” katanya.

Balakrishnan berkata beliau dan Ismail saling mengenali sejak mereka berdua menjadi menteri belia dan sukan.

“Kami juga ada bertemu ketika lawatan saya ke Malaysia pada Mac tahun ini dan membincangkan langkah keselamatan Covid-19 dan pengaturan perjalanan rentas sempadan.

“Saya juga mengenali rakan sejawat saya, Saifuddin Abdullah. Kami bekerjasama rapat ketika memegang portfolio hal ehwal luar negeri antara 2018 dan 2020,” katanya.

Selain kepemimpinan politik, Balakrishnan berkata kedua-dua negara juga menjalin hubungan dan komunikasi yang baik di peringkat pegawai awam.

Balakrishnan menekankan bahawa Singapura tetap komited untuk mengekalkan hubungan yang konstruktif dan positif dengan kerajaan Malaysia.

“Kami juga akan meneruskan kerjasama dan komitmen atau projek dua hala,” katanya.

Beliau memberitahu Parlimen bahawa Singapura menjalin hubungan baik dengan kerajaan dan pemimpin Malaysia dan bekerjasama dengan baik dalam pelbagai bidang.

Menteri itu menyatakan mereka bertindak pantas pada awal pandemik Covid-19 dengan menubuhkan jawatankuasa kerja khas Singapura-Malaysia untuk menyelaras langkah-langkah keselamatan kedua-dua negara bagi meminimumkan gangguan terhadap syarikat, pekerja, dan rakyat.

Balakrishnan berkata beberapa pengaturan perjalanan termasuk pergerakan trak kargo, Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk pekerja, dan kerangka lawatan kecemasan atas sebab kematian serta penyakit kriktikal juga dilancarkan.

“Pengaturan perjalanan ini sudah pasti akan diteruskan,” katanya.

Beliau turut ditanya bagaimana kerajaan Singapura akan terus maju menerusi pelbagai perkongsian dua hala dengan Malaysia seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan langkah-langkah kawalan sempadan Covid-19.

Menjawab mengenai projek RTS Link, beliau berkata pembinaan “dimulakan oleh kedua-dua pihak dan menunjukkan kemajuan yang baik.”

Katanya, projek itu akan menjadi pengubah keadaan apabila ia beroperasi pada akhir 2026, dan “kami berharap ia dapat memperkukuh lagi hubungan antara Singapura dan Johor Bahru, selain mengurangkan kesesakan di tambak.”

Singapura dan Malaysia sepakat untuk menyambung semula projek RTS Link pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, mengenai langkah-langkah kawalan sempadan Covid-19, menurutnya: “Kami terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia mengenai keselamatan dan membuka semula sempadan secara beransur-ansur, memandangkan kita akan memasuki fasa endemik.”

“Ini memerlukan Protokol Kesihatan Awam yang dipersetujui bersama untuk memelihara kesihatan awam dan keselamatan penduduk di kedua-dua negara sambil mengambil kira, misalnya sumber perubatan yang ada,” katanya.

Balakrishnan berkata kini kedua-dua pihak sedang berusaha ke arah mengiktiraf sijil vaksin masing-masing.

“Perbincangan berhasil dan menunjukkan kemajuan yang baik, ini tentunya akan membantu kita menentukan hala tuju kita untuk membuka semula sempadan negara dengan selamat apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles