Saturday, October 23, 2021

Penurunan keberkesanan vaksin mungkin punca kes meningkat di Sarawak, kata Khairy

Khairy berkata kerajaan kini meneliti keperluan suntikan dos ketiga terutama untuk golongan warga emas, terimunokompromi dan petugas kesihatan.

Other News

Kementerian kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19 selepas tempoh tertentu yang menjadi punca kes di Sarawak meningkat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata justeru, pihaknya kini meneliti keperluan suntikan dos ketiga atau “booster” terutama untuk golongan warga emas, terimunokompromi dan petugas kesihatan dalam usaha mengatasi situasi itu seperti yang dilakukan di negara lain.

“Jadi kita sama sekali tidak menolak kemungkinan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19.

Sarawak menyaksikan peningkatan dalam jumlah kes harian baru-baru ini dan mencatatkan 3,118 kes hari ini.

Khairy berkata beliau akan berlepas ke Sarawak minggu depan untuk membincangkan langkah-langkah tambahan dengan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penularan di negeri itu.

“Saya telah meminta agar syor-syor dibuat segera memandangkan kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) minggu depan,” katanya.

Beliau berkata KKM akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai strategi seterusnya bagi menangani isu penularan wabak itu.

Khairy berkata langkah mengadakan ujian saringan, pengesanan dan isolasi adalah penting di Sarawak buat masa ini kerana apa yang berlaku di negeri itu mungkin berlaku di negeri lain dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya orang ramai perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap status kesihatan mereka sendiri sebagai sebahagian daripada langkah kesihatan awam.

Beliau berkata individu bergejala perlu melakukan ujian kendiri dengan pantas serta terasing dan menambah bahawa teknologi pengesanan kontak yang baharu akan diperkenal pada akhir bulan ini bagi membantu KKM dalam mengesan kontak rapat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles