- Iklan -
Berita

Istana bertindak di luar perlembagaan, beri persepsi campur tangan politik, kata bekas ketua hakim

Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad menyenaraikan kejadian sepanjang setahun lalu yang menurut beliau menunjukkan istana melampaui kuasa Perlembagaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri membaca sumpah pelantikannya sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Ismail Sabri membaca sumpah pelantikannya sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas ketua hakim negara berkata Yang di-Pertuan Agong bertindak di luar kerangka Perlembagaan dalam beberapa peristiwa sepanjang setahun lalu sehingga ke tarikh peletakan jawatan oleh Muyhiddin Yassin, di samping turut menambah beberapa siri tindakan istana boleh ditafsirkan sebagai campur tangan politik.

Bekas ketua hakim Abdul Hamid Mohamad juga turut mempersoalkan apakah keperluan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memanggil Raja-Raja Melayu yang lain untuk mempertimbangkan perkara seperti cadangan kerajaan bagi pengisytiharan darurat virus tahun lalu, selain pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bulan lalu.

“Perlembagaan tidak memberi Raja-Raja Melayu apa-apa peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Paling kurang, bolehlah dikatakan mesyuarat itu tidak perlu. Sebaliknya, dengan mengadakan mesyuarat itu, ia memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan sendiri,” kata Hamid, yang bersara sebagai ketua hakim pada 2008 setelah lebih 50 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman negara dalam analisis 11 halaman yang ditulisnya mengenai krisis politik sejak setahun lalu.

Hamid berkata, peristiwa 2020 dan 2021 yang menyaksikan istana menentang nasihat kerajaan pada masa itu boleh menjadikan urusan undang-undang yang mudah menjadi rumit.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila Raja-Raja, bukan sahaja tidak mengikut nasihat, di mana Perlembagaan memperuntukkan mereka kena berbuat demikian, tetapi melakukan sesuatu di luar Perlembagaan dan menitahkan sesuatu yang bercanggah, apatah lagi sesuatu yang bersifat politik, yang digunakan oleh pembangkang untuk mencapai kehendak mereka.

“Maka, betul atau tidak, nampaklah seolah-olah Raja berada di satu pihak dan Kerajaan di satu pihak lagi,” katanya.

Beliau memetik beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, mengatakan ia memberikan gambaran wujud campur tangan istana dalam politik.

Hal ini, katanya, turut termasuk gesaan awal Agong bulan lalu agar usul undi percaya dibentangkan bagi mengesahkan sokongan kepada orang yang sudah dinamakan beliau sebagai perdana menteri.

Tugas Agong terhenti selepas lantik PM

Hamid berkata semakan ketat dan proses lain dilakukan istana sebelum akhirnya melantik Ismail juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan yang diberikan kepada Agong untuk melantik perdana menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Hamid berkata, tugas Agong selesai selepas melantik perdana menteri.

“Bukanlah tanggungjawab Baginda untuk memastikan orang yang Baginda lantik itu benar-benar mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau masih lagi mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Katanya, menggunakan semangat sama Agong tidak seharusnya meminta Ismail untuk mengadakan undi percaya.

“Perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengapa Yang di-Pertuan Agong menghendaki perdana menteri membuktikan pelantikannya yang dibuat oleh Baginda itu sah?” soal Hamid.

Sebelum melantik Ismail sebagai perdana menteri, istana bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik, di mana Agong dilaporkan menggesa mereka bekerjasama bagi memastikan kestabilan dalam perang Malaysia melawan pandemik Covid-19.

Selepas itu Istana Negara menggesa semua 220 ahli Parlimen menandatangani surat akuan pilihan calon perdana menteri mereka.

Kemudiannya, istana memanggil setiap ahli Parlimen untuk mengesahkan sokongan mereka.

Pada 20 Ogos, Sultan Abdullah menjemput Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat khas, beberapa jam sebelum Ismail disahkan sebagai perdana menteri.

Hujung minggu lalu Peguam Negara Idrus Harun berkata usul undi percaya terhadap Ismail tidak diperlukan kerana ia boleh menyebabkan kuasa Agong boleh diatasi pihak lain.

Baru-baru ini didedahkan istana berkata usul undi percaya di Dewan Rakyat sudah tidak lagi menjadi keperluan.

Peguam negara tidak perlu beri penjelasan

Hamid berkata episod ini menunjukkan bagaimana kenyataan Agong boleh digunakan ahli politik untuk kepentingan mereka.

Katanya bukan tugas peguam negara beri penjelasan kerana ia merupakan perdebatan politik.

“Maka, nasihat saya yang pertama sekali ialah beliau hendaklah belajar berkata ‘tidak’ kepada ahli-ahli politik, di mana berkenaan,” katanya dan menambah peguam negara akan dilihat mempertahankan kerajaan dalam isu yang dipolitikkan.

Hamid berkata, mereka yang mempersoalkan keabsahan pelantikan Ismail boleh membawa perkara itu ke mahkamah dan yang tidak yakin dengan sokongan ahli Parlimen terhadapnya boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Beban pembuktian terletak di atas bahu pihak yang menuduh/mencabar,” katanya dan menambah bukan tugas kerajaan untuk membuktikan majoriti dipunyainya.