- Iklan -
Berita

Zafrul kekal sebagai menteri kewangan dalam Kabinet baru

Zafrul sekali lagi menjadi menteri kanan dalam pentadbiran kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ditemani Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali ketika pengumuman Kabinet hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ditemani Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali ketika pengumuman Kabinet hari ini. Gambar: Bernama

Tengku Zafrul Aziz kekal memegang portfolio kewangan dalam barisan Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menjadi salah seorang daripada ramai menteri pentadbiran kerajaan terdahulu yang dikekalkan jawatan mereka.

Dalam pengumuman Kabinet hari ini, Ismail berkata menteri-menteri yang dilantik menganggotai pentadbirannya adalah formulasi semula berdasarkan situasi semasa negara akibat Covid-29, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan orang ramai.

“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara,” katanya.

Selain Zafrul, empat lagi menteri kanan yang dikekalkan adalah Mohamed Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri), Hishammuddin Hussen (pertahanan), Fadillah Yusof (kerja raya) dan Radzi Jidin (pendidikan).

Beberapa nama yang disebut-sebut akan turut dilantik dalam Kabinet baru dilihat tidak menyertai senarai anggota.

Ia termasuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas timbalan speaker Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar Nasarah, yang meletakkan jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli menyertai pemimpin partinya menarik sokongan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak dilantik semula dalam Kabinet.

Seorang lagi menteri Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad yang meletak jawatan menteri pengajian tinggi kembali dilantik memegang portfolio yang sama.

Menurut Ismail kabinet baru ini yang dilantik perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

Beliau turut berkata Kabinet baru perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.”