- Iklan -
Berita

Zahid mungkin boleh hadir prosiding mahkamah 6 September, kata doktor

Menurut doktor Zahid, presiden Umno itu tidak boleh duduk terlalu lama dan perlu melakukan beberapa latihan peregangan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mohd Shahir Anuar dari Hospital Pakat Avisena di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Dr Mohd Shahir Anuar dari Hospital Pakat Avisena di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Doktor pakar sebuah hospital swasta hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pesakitnya, Ahmad Zahid Hamidi “mungkin” boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang ditetapkan pada 6 September ini.

Dr Mohd Shahir Anuar dari Avisena Specialist Hospital di Shah Alam, yang merawat Presiden Umno itu, berkata demikian ketika menjawab soalan hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes Zahid.

Sequerah: Pada pandangan Doktor, adakah pesakit dalam keadaan ini boleh hadir ke mahkamah pada 6 September. Beliau perlu duduk di dalam mahkamah sepanjang prosiding kes ini tetapi beliau juga dibenarkan berehat.

Dr Mohd Shahir: Mungkin boleh, tetapi tidak boleh lebih 40 minit. Beliau tidak boleh duduk terlalu lama, beliau harus melakukan beberapa latihan peregangan.

Semalam, mahkamah itu dijadualkan mendengar hujah di akhir kes pendakwaan namun prosiding tersebut terpaksa ditangguhkan apabila Zahid dimasukkan ke hospital pada Ahad susulan kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tersebut Anwar memberikan bayangan pembangkang tidak akan mengundi menentang Ismail dalam usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Susulan itu, Sequerah telah mengeluarkan sepina kepada doktor itu untuk hadir ke mahkamah bagi menjelaskan keadaan kesihatan Zahid dan prosedur yang perlu dijalaninya serta menentukan tempoh pemulihan.

Pada prosiding hari ini, Dr Mohd Shahir berkata Zahid telah memaklumkan bahawa beliau terjatuh ketika berada di tandas Rabu lepas sejurus selepas solat Asar serta mengalami kesakitan di bahagian leher dan toraks.

“Beliau tidak mengalami kepatahan tulang belakang. Semalam beliau menjalani prosedur intervensi kesakitan bagi mengurangkan sakit belakang akibat cakera teranjak yang dialaminya,” katanya.

Ketika ditanya tempoh yang akan diambil oleh Zahid untuk berjalan seperti biasa, Dr Mohd Shahir berkata “beliau boleh berjalan seperti biasa tetapi tidak boleh duduk terlalu lama.

Sequerah: Jadi berapa lama beliau boleh duduk?

Dr Mohd Shahir: Biasanya, bagi setiap 30 hingga 45 minit, beliau perlu bangun dan melakukan latihan peregangan.