- Iklan -
Berita

Pemimpin PH persoal ‘rombongan Umno’ ikut lawatan PM ke Kedah

Pemimpin PH mengecam perdana menteri susulan penularan beberapa gambar yang menunjukkan Ismail Sabri Yaakob dalam kapal terbang bersama sekumpulan pemimpin Umno.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama pemimpin Umno dalam kapal terbang.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama pemimpin Umno dalam kapal terbang.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pengguna media sosial selepas beberapa gambar tersebar menunjukkan beliau dan segerombolan pemimpin Umno menaiki kapal terbang rasmi beberapa jam selepas beliau memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Difahamkan Ismail menaiki kapal terbang ke Kedah dalam program lawatan terhadap mangsa banjir hujung minggu lalu.

Gambar  menunjukkan selain Ismail, beberapa pemimpin Umno berada dalam jet itu seperti bekas menteri besar Kedah Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said dan beberapa individu lagi.

Ekoran itu, ramai yang mempersoalkan mengapa ramai orang menyertai perdana menteri dalam kapal terbang tersebut, sambil turut mengecam sikap pemimpin Umno yang tidak sensitif terhadap kesusahan ekonomi yang dihadapi orang ramai ketika ini.

Antara yang mengecam tindakan foto yang tersebar itu adalah Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Dengan nada sinis, Mahfuz mengatakan beliau berbangga dengan konsep keluarga Malaysia yang berjaya ditonjolkan Ismail.

“Alhamdulilah ‘keluarga’,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sementara itu, dengan nada yang sama aktivis PKR Hasmi Hashim turut mempersoalkan apakah dengan tularnya gambar itu, Anwar Ibrahim juga akan dipersalahkan seperti sebelum ini.

“Umno rebut kuasa, yang salah Anwar. Ismail naik jet ramai-ramai, yang salah Anwar Ibrahim, demikianlah,” katanya dalam ciapan di Twitter kritikan yang dihadapi Anwar selepas gagal mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Pengerusi Amanah Kedah Ismail Salleh turut menyindir keluarga besar yang terlihat dalam gambar tersebut.

“Meriahnya satu keluarga besar dalam satu jet,” katanya.

Selain mereka bertiga ramai warga maya turut mengecam tindakan tersebut yang didakwa tidak sensitif dengan perkembangan semasa.

Semalam, Ismail mengumumkan RM75 juta sebagai dana khas sebagai bantuan untuk membaiki infrastruktur dan kemudahan awam di Yan dan Merbok susulan banjir di Gunung Jerai Rabu lalu.

Ismail yang merupakan naib presiden Umno dilantik untuk menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan selepas memperoleh majoriti rapuh selepas ahli-ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak menarik sokongan terhadap beliau.