Monday, September 20, 2021

Tiada kluster mahkamah dalam Kabinet baru, syarat sokong Ismail, kata Muhyiddin

PN mahu Kabinet baru dilantik daripada anggota yang berintegriti dan amanah.

Other News

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan persetujuan sebulat suara mencalonkan bekas timbalan perdana menteri Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional yang baru dengan syarat lantikan Kabinet baru bukan terdiri daripada mereka yang dikaitkan dengan jenayah.

Dalam sebuah kenyataan, pengerusinya, Muhyiddin Yassin meletakkan syarat mereka yang “bakal dilantik adalah terdiri daripada yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah.”

Bekas perdana menteri yang sebelum ini berkata terpaksa meletakkan jawatan kerana perancangan sekumpulan kleptokrat untuk melepaskan diri daripada pertuduhan rasuah berkata, semua ahli Parlimen PN yang terdiri dari 31 ahli Parlimen Bersatu, 18 dari PAS dan satu dari Star menyatakan sokongan mereka kepada Ismail.

“Empat ahli Dewan Rakyat bebas pro-PN juga berbuat demikian.”

Ismail adalah antara pemimpin Umno dan ahli Kabinet yang menolak untuk menyertai ketua partinya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kempen menumbangkan pentadbiran Muhyiddin dengan menarik sokongan terhadap beliau.

Najib dan Zahid adalah sebahagian daripada sekumpulan ahli Parlimen yang digelar kluster mahkamah.

Mereka adalah pemimpin Umno yang menganggotai pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum tumbang pada 2018.

Julai tahun lalu, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Zahid berdepan lebih dari 80 pertuduhan pengubahan wang, pecah amanah dan rasuah.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan secara terperinci bagaimana Zahid mendekati Muhyiddin dengan harapan pertuduhan terhadapnya dapat digugurkan.

Muhyiddin berkata keputusan untuk menyokong Ismail dibuat bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi keebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles