- Iklan -
Berita

Ku Li ahli Parlimen tunggal dari Umno tak sokong Ismail Sabri sebagai PM

114 ahli Parlimen sedia mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dalam lima kumpulan bagi mengesahkan pilihan calon perdana menteri mereka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin menjadi satu-satunya pemimpin Umno yang tidak menyokong pencalonan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, berdasarkan senarai 114 ahli Parlimen yang dijadualkan hadir bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Semalam, ahli-ahli Parlimen dipanggil mengadap untuk mengesahkan pilihan perdana menteri baru seperti yang dinyatakan dalam surat akuan sumpah mereka yang diserahkan kepada istana.

Ahli-ahli Parlimen dari Umno, GPS dan Perikatan Nasional (PN) termasuk empat ahli Parlimen bebas yang menyokong Ismail dijadualkan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam lima kumpulan.

Perdana menteri caretaker Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin Bersatu yang lain dijadualkan mengadap Agong pada pukul 11.10 pagi, bersama Najib Razak, yang giat berkempen bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan kerajaan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ismail pula dimasukkan ke dalam kumpulan yang mengadap Agong pada sesi yang dijadualkan pada 2.00 petang.

Hampir pasti Ismail mungkin akan dititah Agong membentuk kerajaan baru yang menyaksikan gabungan PN, Umno dan GPS sekali lagi menduduki tampuk pentadbiran negara.

Selasa lalu, sekitar 12 ahli Parlimen Umno termasuk Najib dan presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan sokongan sebulat suara mereka terhadap Ismail.

Ismail adalah antara pemimpin Umno dan ahli Kabinet yang enggan bergabung dengan Najib dan Zahid bagi menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pencalonan beliau dipercayai disokong bekas perdana menteri Muhyiddin, yang juga merupakan pengerusi PN susulan spekulasi rundingan antara mereka yang bakal menyaksikan Bersatu kembali memainkan peranan penting.

Pelantikan Ismail sebagai perdana menteri ke-9 adalah berikutan peringatan Agong kepada ketua-ketua parti politik pada Selasa yang menasihatkan supaya meletakkan keutamaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat melebihi diri mereka sendiri.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga memberitahu pemimpin politik bahawa rakyat tidak lagi mampu menangung beban kemelut politik yang berterusan, selain mendesak semua parti politik untuk bekerjasama dengan kerajaan baru.