- Iklan -
Berita

PH gesa penentang Muhyiddin bersatu sokong Anwar sebagai PM

PH mengulangi pendirian bahawa Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berjalan kaki untuk menuju ke Parlimen 2 Ogos lalu.
Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berjalan kaki untuk menuju ke Parlimen 2 Ogos lalu.

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi membentuk majoriti baru di Dewan Rakyat, mengulangi pendirian Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan.

“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil,” kata satu kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, PH turut berkata mereka tidak bersetuju untuk pilihan raya umum diadakan sepanjang pandemik Covid-19.

“Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

“Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua ahli Parlimen yang menentang dan menolak Muhyiddin Yassin untuk bersama menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama bekas perdana menteri Najib Razak mengetuai gerakan untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Gerakan mereka mencapai momentum baru-baru ini selepas dua menteri Kabinet meletakkan jawatan kerana akur kepada arahan Zahid.

Kedua-dua Zahid dan Najib kini mendakwa telah berjaya mengumpul sokongan 15 ahli Parlimen dari Umno.

Menurut PH, setakat ini hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan 120 ahli Parlimen tidak menyokong.

“Namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap perdana menteri nanti.”

Awal minggu ini, MalaysiaNow melaporkan rancangan pemimpin PKR untuk mengangkat ketua mereka, Anwar sebagai calon perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong terpaksa dibatalkan selepas gagal menunjukkan blok pembangkang memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen.

Mereka bersetuju untuk memberi tumpuan kepada ahli Parlimen yang menentang Muhyiddin.

Hal ini adalah kerana pembangkang daripada blok selain PH menentang percubaan untuk menamakan Anwar sebagai perdana menteri walaupun turut menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan.