- Iklan -
Berita

Adun Melayu DAP tunggal Johor yakin parti boleh bekerjasama dengan Umno

Sheikh Omar Ali yakin jajaran baru politik akan dialu-alukan oleh penyokong partinya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) dari Johor tidak menolak kemungkinan partinya bekerjasama dengan Umno dalam jajaran politik baru, sehari selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan amaran terhadap kepimpinan Melayu supaya tidak mengganggu perjalanan kerajaan kerana berebut kuasa sepanjang pandemik.

Adun Paloh Sheikh Omar Ali yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pasti akan dapat ditumbangkan melalui usul undi percaya bulan depan.

Beliau berkata “tidak mustahil” Umno dan DAP boleh bekerjasama kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, semua maklum tidak ada parti yang boleh menjadi dominan seperti sebelumnya.

“Umno mungkin lama dominan tapi segalanya berubah dan akan beri kesan pada PRU akan datang,” kata Sheikh omar yang merupakan naib pengerusi DAP Johor kepada MalaysiaNow.

Semalam, Sultan Johor menzahirkan rasa kecewa kepada sesetengah pemimpin politik yang mengganggu perjalanan kerajaan kerana berebut kuasa, mengatakan tindakan mereka tersebut adalah tidak wajar ketika rakyat mengalami kesusahan disebabkan pandemik Covid-19.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada ahli politik Melayu.

Peringatan tersebut timbul ketika Presiden PKR Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Umno, Ahmad Zahid Hamidi mula menyerahkan akuan sumpah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional.

Pandangan ini dilihat bercanggah dengan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang sebelum ini memberikan amaran sebarang kekosongan kuasa yang terjadi akibat kejatuhan kerajaan PN akan diisi oleh Umno, menjadikan parti yang pernah mendominasi kerajaan itu sebelum ini, kembali menjadi semakin kuat pada pilihan raya akan datang.

“Dan jika pemimpin Umno jadi PM, bukankah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin kembali berkuasa)?” kata Pua yang dilihat merujuk “kluster mahkamah” dalam kalangan pemimpin Umno yang kini sedang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

Semalam MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri sekiranya usul undi percaya Dewan Rakyat bulan depan berjaya gulingkan Muhyiddin.

Seorang sumber kanan parti berkata Zahid mengumumkan perkara tersebut kepada ahli-ahli Parlimen Umno pada sebuah pertemuan tertutup dalam usaha meyakinkan mereka beliau tidak akan menyokong mana-mana pemimpin di luar parti Melayu itu dalam rancangan untuk keluar daripada kerajaan PN.

Dalam pada itu, Sheikh Omar percaya penyokong DAP serta Umno boleh menerima jajaran baru tersebut walaupun isu tersebut dianggap “taboo” kerana penyokong Umno dan DAP tidak boleh menerima perkara ini.

“Saya lihat rakyat malah penyokong DAP serta Umno boleh terima jajaran baru dan teroka kemungkinan kerjasama demi pemulihan ekonomi kestabilan politik dan tingkatkan usaha memulihkan pandemik Covid-19,” katanya.