- Iklan -
Berita

KDN siasat kesahihan dakwaan ahli Parlimen PH, tindakan tegas diambil terhadap pelaku rasuah

Hamzah Zainuddin berkata siasatan itu juga dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini berkata siasatan akan dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan rasuah dan laporan palsu kepada pihak polis.

Hamzah berkata siasatan itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kementerian dalam negeri akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis yang palsu dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hamzah, pihaknya mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis berhubung dakwaan penawaran rasuah melalui aplikasi WhatsApp tersebut.

“Saya mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan yang terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis tersebut.

Terdahulu, SPRM berkata pihaknya sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan rasuah berbentuk wang dan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tersebut.

Polis Perak turut mengesahkan menerima laporan yang dibuat setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran pada Sabtu lalu.

Kulasegaran mendakwa beliau dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Bekas menteri sumber manusia itu berkata, tawaran tersebut dibuat menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat.

Katanya, antara tawaran tersebut adalah ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.