- Iklan -
Berita

Respons RoS selepas Najib sasarkan PAS berhubung penangguhan pemilihan parti

Ia berbeza dengan penangguhan pemilihan Umno pada mesyuarat MKT yang melebihi tempoh pemegang jawatan pada 30 Jun lalu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden Umno, Najib Razak bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada pengamal media ketika hadir bagi mendengar perbahasan sayap-sayap Umno pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Bekas presiden Umno, Najib Razak bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada pengamal media ketika hadir bagi mendengar perbahasan sayap-sayap Umno pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menafikan pihaknya mengamalkan pilih kasih ketika memutuskan penangguhan pemilihan Umno sebagai tidak sah selepas bekas presidennya, Najib Razak mempersoalkan mengapa langkah serupa tidak diambil terhadap PAS yang turut menangguhkan pemilihan jawatan kepimpinan parti itu.

Ketua Pengarah RoS Jasri Kasim berkata PAS memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti pada waktu yang masih sah untuk melakukannya.

“PAS kemukakan penangguhan sebelum tempoh mesyuarat agung tamat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam, Najib mempersoalkan RoS yang mengatakan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.

Najib berkata langkah yang sama turut dilakukan PAS tanpa mendapat apa-apa tindakan dari RoS.

Pada 7 Mac Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memaklumkan keputusan parti itu menangguhkan pemilihan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam pada itu, RoS memutuskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang terbatal pada 30 Jun boleh memberi implikasi terhadap keputusan-keputusan parti yang dilakukan selepas tarikh tersebut.

Ketika ditanya berhubung perkara tersebut, Jasri berkata perkara itu perlu kepada penelitian terperinci kepada perlembagaan parti Melayu itu.