- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen, pegawai hadiri mesyuarat PAC disahkan positif Covid-19

Ahli Parlimen tersebut menghadiri prosiding PAC antara 26 dan 28 Julai lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kakitangan Parlimen dan ahli-ahli Parlimen serta pengamal media diarah untuk melakukan ujian kendiri susulan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan Parlimen, pada 29 Julai. Gambar: Bernama

Seorang ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen minggu lalu disahkan positif Covid-19.

Difahamkan dua pegawai ahli Parlimen itu turut disahkan positif.

“Ahli PAC yang hadir sidang minggu lalu dan turut hadiri prosiding PAC antara 26 dan 28 Julai,” kata satu sumber kepada MalaysiaNow.

Kes baru ini adalah susulan pengesahan lebih dari 80 jangkitan di Parlimen sepanjang sidang khas Dewan Rakyat yang dihentikan serta-merta pada 29 Julai berikutan arahan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah supaya bangunan Parlimen dikuarantin.

Noor Hisham berkata sekurang-kurangnya enam kes di Parlimen melibatkan sampel varian Delta berdasarkan ujian PCR Genotyping Assay.