- Iklan -
Berita

PH beri amaran kepada KP kesihatan selepas Parlimen ditutup akibat kes Covid

PH ingatkan Noor Hisham supaya tidak membiarkan dirinya diperalat oleh kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) semasa sidang media di Parlimen baru-baru ini. Gambar: Bernama
Pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) semasa sidang media di Parlimen baru-baru ini. Gambar: Bernama

Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) hari ini memberi amaran kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, mempersoalkan arahan beliau supaya premis Parlimen dikuarantin ekoran tercetus kes Covid-19 di kawasan itu sehingga menyebabkan sesi sidang khas Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan.

“Kami juga memberi amaran keras kepada Muhyiddin Yassin agar tidak memperalat agensi dan kementerian-kementerian, termasuk ketua pengarah kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini,” kata Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Ketua pengarah kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat
demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.”

Mereka turut memberi amaran terhadap kementerian kesihatan pegawai-pegawai kementerian kesihaan supaya “tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukan helah untuk sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini.”

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan ahli-ahli Parlimen sidang khas yang sepatutnya bersambung esok akan ditangguhkan pada tarikh yang akan dimaklumkan, selari dengan cadangan Noor Hisham dan penilaian risiko Covid-19 oleh kementerian kesihatan.

Pada Khamis, Noor Hisham mengarahkan supaya bangunan Parlimen dikuarantin susulan pengesanan beberapa kes Covid-19 di lokaliti tersebut.

Langkah tersebut menimbulkan bantahan daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang, yang menunggu penjelasan kerajaan mengenai teguran Istana Negara berhubung pembatalan ordinan-orfinan darurat oleh kerajaan.

PH berkata kadar kes positif di Parlimen adalah sebanyak 0.9%, di bawah 5% nilai ambang yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covid-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.

“Oleh itu, isu jangkitan Covid-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin, 2 Ogos 2021,” kata pemimpin gabungan itu lagi.