- Iklan -
Berita

Kajian ilmiah palsu, lemah metodologi ganggu usaha tangani pandemik Covid-19

Kebanyakan kertas kajian yang didedahkan tidak memiliki kredibiliti ditarik balik ketika ia sudah tular.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin telah menyebabkan banyak negara hadapi masalah untuk menangani wabak melalui imuniti kelompok. Gambar: Bernama
Penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin telah menyebabkan banyak negara hadapi masalah untuk menangani wabak melalui imuniti kelompok. Gambar: Bernama

Kajian ilmiah dengan metodologi yang lemah serta penemuan yang tidak tepat telah memburukkan lagi keadaan krisis Covid-19 sehingga menurunkan kadar vaksinasi dan membahayakan nyawa.

Minat orang ramai mengenai pandemik dan perbahasan mengenai cara mengatasinya di Amerika Syarikat telah menyebabkan penularan kertas kajian palsu dan tidak tepat, termasuk hasil kerja daripada mereka yang menentang vaksinasi.

Walaupun apa yang mereka dakwa sebagai kajian tersebut ditarik balik selepas didedahkan tidak memiliki kredibiliti, ia bagaimanapun sudah terlambat.

“Setelah sesebuah makalah kajian diterbitkan, kerosakan yang berpunca daripadanya tidak dapat ditarik semula,” kata Emerson Brooking, seorang felo kanan di Makmal Penyelidikan Forensik Digital Atlantik, sebuah badan yang menumpukan kajian untuk mengenal pasti dan mendedahkan maklumat palsu dan salah.

Kertas kajian yang lemah metodologi “menjadi bahan untuk sebaran bagi golongan yang skeptik dan mereka yang percaya teori konspirasi Covid-19.

“Kajian-kajian demikian menjadi subjek perbincangan dalam talian. Penemuan mereka itu didapati melalui artikel-artikel laman sesawang yang tidak masuk akal dan menyesatkan,” kata Brooking kepada AFP.

Maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin sangat berbahaya ketika kadar vaksinasi di AS semakin menurun sehingga pihak berkuasa kesihatan berkata hampir semua kematian Covid-19 baru-baru ini berlaku dalam kalangan mereka yang belum mendapat vaksin.