- Iklan -
Berita

Sarawak benarkan ‘dine-in’ di premis restoran bermula 16 Julai

Hanya operator dan pekerja restoran yang telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin dibenarkan untuk membuka operasi 'dine-in' di premis.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Selepas beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, Sarawak hari ini umum kebenaran 'dine-in' di restoran.
Selepas beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, Sarawak hari ini umum kebenaran 'dine-in' di restoran.

Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan kebenaran untuk aktiviti “dine-in” di premis bermula 16 Julai depan, susulan beberapa hari negeri itu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, jawatankuasa pengurusan bencana negeri itu berkata hanya operator dan pekerja yang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin dibenarkan untuk membuka premis mereka kepada pengunjung bagi aktiviti “dine-in”.

Menurut JPBN, antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi adalah seperti mengimbas suhu badan dan pendaftaran nama sama ada secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

Penjarakan fizikal satu meter juga mesti dilaksanakan, sementara hanya mereka yang dikategorikan sebagai berisiko rendah sahaja akan dibenarkan masuk ke dalam premis.

Dalam pada itu, bilangan maksimum pengunjung pula hanya membenarkan dua orang sahaja duduk di meja makan dengan jarak satu meter, manakala empat orang dibenarkan untuk duduk di meja dengan ukuran diameter 1.2 meter.

Bilangan maksimum enam orang pula dibenarkan untuk duduk di meja berukuran diameter 2 meter.

Pada 14 Julai lalu, Sarawak melangkah ke fasa kedua Pelan PPN, menyertai beberapa negeri lain yang lebih awal bergerak ke fasa itu.

PPN yang menetapkan empat fasa peralihan diumumkan kerajaan pada 15 Jun lalu, ia adalah sebagai langkah untuk pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi secara beransur-ansur.

Peralihan antara fasa pula bergantung kepada kemajuan yang dicapai dalam mengendalikan pandemik Covid-19.