- Iklan -
Berita

Tumpu perangi Covid-19, kata GPS, PAS ketika suhu politik meningkat dalam negara

Kedua-dua parti itu berharap pelantikan Ismail dan Hishammuddin dapat mengembalikan fokus melawan wabak selepas politik negara panas kebelakangan ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan di kawasan premis-premis perniagaan yang ditutup pada hari pertama perintah kawalan pergerakan 3.0. Kerajaan diharap fokus dalam melaksanakan langkah-langkah melawan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Seorang lelaki berjalan di kawasan premis-premis perniagaan yang ditutup pada hari pertama perintah kawalan pergerakan 3.0. Kerajaan diharap fokus dalam melaksanakan langkah-langkah melawan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PAS hari ini menggesa semua pihak meletakkan fokus utama menguruskan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini susulan suhu politik yang panas akibat keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam dua kenyataan berasingan, kedua-dua parti itu senada dan turut mengalu-alukan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan luar negeri.

“Pelantikan kedua-dua mereka amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini.

“Ia juga diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik Covid-19,” kata GPS dalam kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu, PAS berkata pihaknya konsisten menyeru pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama negara untuk menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini.

“PAS juga menyeru rakyat keseluruhannya mesti bersama-sama mendukung Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan kerajaan.”

Pelantikan Ismail dan Hishammuddin diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan Ismail mengisi kekosongan jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Hishammuddin juga turut menyertai tiga lagi menteri kanan: Mohamed Azmin Ali, Radzi Jidin dan Fadillah Yusof.